Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Rakyat Kedah diingatkan supaya lebih berhati-hati berikutan cuaca panas dan kering meningkatkan risiko kebakaran di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, trend kebakaran terbuka seperti belukar dan lalang semakin memuncak pada ketika ini dan amat membimbangkan.
Menurutnya, kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka dalam mengurangkan risiko kebakaran sekali gus meringankan beban operasi anggota bomba di lapangan.
“Keadaan cuaca panas dan kering ketika ini sangat mudah mencetuskan kebakaran, khususnya di kawasan belukar dan lalang. Justeru, orang ramai perlu lebih peka dan bertanggungjawab,” katanya.
Menurut Mansor, berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah sehingga 27 Mac, sebanyak 4,180 kes kecemasan direkodkan bagi tahun ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 3,254 kes atau 77.6 peratus melibatkan kebakaran, diikuti operasi penyelamatan (894 kes atau 21.3 peratus), tugas khas (32 kes) dan panggilan palsu (12 kes).
“Lebih membimbangkan, kebakaran terbuka mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,757 kes, dengan kebakaran belukar dan lalang menjadi penyumbang utama sebanyak 2,652 kes,” katanya.
Mansor memaklumkan, panggilan kecemasan kebakaran lain melibatkan bangunan dan isinya (167 kes), elektrik (132 kes), kawasan sampah (94 kes), kenderaan (83 kes), kebun atau ladang (7 kes) serta hutan (4 kes).
“Bagi bulan Mac sahaja, JBPM Kedah menerima 1,560 panggilan kecemasan melibatkan 1,520 kes, dengan 1,280 daripadanya merupakan kes kebakaran,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan statistik harian pada 27 Mac, sebanyak 68 kes direkodkan, iaitu penurunan 21 kes berbanding hari sebelumnya.
“Sebagai perbandingan, rekod tertinggi dicatatkan pada 23 Mac sebanyak 90 kes, di mana 82 daripadanya adalah melibatkan kes kebakaran,” katanya.
Dalam pada itu, Mansor berkata, lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang merekodkan jumlah kes tertinggi ialah BBP Sungai Petani (486 kes), diikuti BBP Alor Setar (399 kes), BBP Baling (282 kes), BBP Pokok Sena (281 kes) dan BBP Amanjaya (279 kes).

0 Comments