ALOR SETAR PERKENAL ‘CAR FREE SATURDAY’ BERMULA 2 MEI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Program Alor Setar ‘Car Free Saturday’ (Sabtu Tanpa Kenderaan) akan dilaksanakan bermula 2 Mei depan di Dataran Medan Bandar sebagai usaha memperkukuhkan komitmen bandar raya ini ke arah pembangunan bandar yang lebih lestari, sihat dan berdayahuni.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, inisiatif Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) itu dijangka memberi impak positif terhadap alam sekitar selain menggalakkan gaya hidup sihat kalangan masyarakat bandar.

Menurutnya, program tersebut akan dilancarkan oleh Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang bertindak sebagai penasihat serta penyokong utama kepada pelaksanaan inisiatif berkenaan.

“Pelaksanaan program ini mampu membantu mengurangkan pelepasan karbon, pencemaran udara dan pencemaran bunyi khususnya di kawasan pusat bandar.

“Walaupun ia langkah kecil, namun signifikan dalam menggalakkan perubahan gaya hidup lebih sihat dan mampan di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai usaha pengurangan pelepasan karbon di bandar,” katanya pada sidang media ketika pelancaran program.

Beliau berkata, beberapa laluan utama di pusat bandar akan ditutup kepada kenderaan bermotor pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan bermula pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Antara laluan terlibat ialah Lebuhraya Darul Aman, Jalan Tunku Ibrahim, Jalan Sultan Badlishah, Jalan Istana Lama dan Jalan Stadium.

“Sebahagian laluan akan ditutup sepenuhnya manakala sebahagian lagi dibuka secara sehala bagi memudahkan pergerakan penduduk setempat.

“Penutupan ini memberi ruang kepada orang ramai menjalankan aktiviti riadah seperti berjalan kaki, berbasikal, senamrobik serta aktiviti komuniti dalam suasana lebih selamat dan kondusif,” katanya.

Tambahnya, pelancaran program itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti melalui enam kluster utama iaitu Subuh @ Masjid Zahir, Eco Briskwalk, Kenderaan EV dan Greentech, Health & Fitness, Kids Corner serta Food and Beverages.

Program bermula dengan Subuh @ Masjid Zahir pada pukul 6.30 pagi diikuti aktiviti Eco Briskwalk sejauh 2.6 kilometer di sekitar bandar raya ini.

Selain itu, aktiviti Fun Run sejauh 5.3 kilometer turut diadakan dengan kerjasama Kolej Vokasional Alor Setar, manakala pameran kenderaan elektrik (EV) dan teknologi hijau berlangsung di ruang pameran Dataran Medan Bandar.

Orang ramai juga berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan melalui kluster Health & Fitness, manakala kanak-kanak boleh menyertai aktiviti mewarna dan petting zoo di Kids Corner.

Turut memeriahkan program,kluster Food and Beverages menampilkan aktiviti perniagaan Lorong Pekan di kawasan tempat letak kenderaan di belakang Balai Seni.

Menurut Abdul Gafar, program tersebut membuka peluang kepada peniaga kecil dan usahawan tempatan menjalankan aktiviti ekonomi sekali gus merancakkan suasana pusat bandar pada hujung minggu.

“Saya harap program Alor Setar ‘Car Free Saturday’ menjadi platform menyatukan masyarakat, meningkatkan interaksi sosial komuniti serta menghidupkan semula pusat bandar di samping memperkukuhkan imej Alor Setar sebagai bandar raya progresif, lestari dan berdayahuni,” katanya.

Beliau mohon kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta komuniti setempat bagi memastikan kelancaran program berkenaan.

Inisiatif tersebut juga selari dengan aspirasi Bandar Rendah Karbon selain usaha MBAS memperkukuhkan mobiliti mampan melalui kempen penanaman dua juta pokok menerusi projek Urban Forest 1 dan Urban Forest 2.

Komitmen MBAS ke arah bandar rendah karbon sebelum ini diiktiraf apabila menerima Anugerah Bandar Rendah Karbon (3 Diamond) pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025 anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 12 Februari lalu.

Post a Comment

0 Comments