KEDAULATAN DAN KESELAMATAN NEGARA, MANA MENTERI KDN??

 


Oleh: Nadzir Helmi
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Kalau beberapa tahun sebelum ini, Menteri Kewangan kita hilang, hari ini Menteri KDN pula hilang! 

Situasi dalam negara semakin tenat. Suhu isu perkauman terus panas. Awal pagi tadi, kereta Cikgu Chandra pula dibakar dengan sebelumnya rumah beliau telah menjadi sasaran.

Pendakwah Zamri Vinoth turut diserang. Kes-kes provokasi seperti ini bakal mencetuskan ketegangan dan ketidaktenteraman awam jika tidak dikawal. Tidak mustahil ia berkait rapat dengan isu binaan rumah ibadat tidak sah yang diperjuangkan sekian lama.

Jangan dikata serangan di tempat awam sahaja, balai polis pun kini tidak terkecuali. 

Sekilas pandang sudah jelas ada pihak yang cuba menghasut dan menyemarakkan api perkauman, walaupun pada asalnya isu-isu ini bukan pun isu perkauman. 

Tetapi para penghasut ini terus dibiarkan bermaharajalela seolah-olah mereka lebih besar daripada undang-undang.

Malangnya, dalam masa yang sama, Malaysia juga terus ditekan dalam isu pemalsuan dokumen pemain warisan yang masih belum menemui titik noktah. 

Daripada isu pemberian kewarganegaraan yang diragui, sehinggalah kepada isu pemalsuan dokumentasi yang telah diklasifikasi sebagai suatu bentuk jenayah.

Di sebalik pelbagai isu yang sedang melanda ini, Menteri KDN terus menghilang. Entah ke mana. 

Banyak isu sudah menjadi topik perbualan, banyak isu sudah cenderung menjadi kes jenayah berat, banyak isu sudah berlaku yang menggoncang ketenteraman awam.

Tapi Menteri KDN masih belum ditemui. Masih hilang dari radar. Kadang-kadang terfikir, adakah Malaysia masih ada seorang Menteri KDN?

Nadzir Helmi
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia

 #TerusMemimpin 

#PemudaPAS

Post a Comment

0 Comments