Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berdepan risiko besar kehilangan pengaruh politik sekiranya berpisah dengan PAS.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga berkemungkinan akan menjadi parti pinggiran dalam landskap politik nasional sekiranya memilih jalan keluar dari gabungan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, sekurang-kurangnya tujuh kerusi yang dimenangi BERSATU sebelum ini yang ditandingi atas tiket PAS juga akan ‘berkubur’.
“Tanpa simbol bulan (PAS), mandat itu akan mudah kembali kepada PAS.
“BERSATU berisiko kehilangan beberapa kerusi Parlimen sekiranya meninggalkan PN, khususnya di Kelantan dan Terengganu. Antara kawasan yang dikenal pasti berisiko termasuk Machang, Tanah Merah, Ketereh, Gua Musang dan Besut,” katanya kepada Kedah Online, hari ini.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan prestasi BERSATU yang tidak memberangsangkan dalam siri pilihan raya kecil sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, apabila hampir semua percubaan gagal menambah kerusi baharu.
“Rekod ini jelas menunjukkan kelemahan jentera pilihan raya serta sokongan akar umbi BERSATU yang masih rapuh,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya berlaku pertembungan secara langsung antara PAS dan BERSATU, undi Melayu berkemungkinan akan berpecah, namun PAS tetap memiliki kelebihan berdasarkan sejarah kemenangan, kekuatan organisasi serta jentera akar umbi yang tersusun dan berdisiplin.
“Dalam situasi itu, BERSATU akan menjadi pihak paling rugi kerana kehilangan ‘leverage politic’ dan berisiko tenggelam tanpa sokongan PAS,” jelasnya.
Ahmad Zaharuddin Sani turut berpandangan, PAS berpotensi muncul sebagai kuasa ketiga (third force) dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan, sekali gus menjadi kuasa penentu yang tidak boleh diketepikan dalam percaturan politik negara.
“Sejarah telah membuktikan, PAS mampu bertahan dan berkembang apabila bergerak secara solo, parti itu mampu berdiri sendiri. Manakala BERSATU sukar mengekalkan kelangsungan tanpa kerjasama PAS, yang akhirnya akan tenggelam tanpa sokongan parti itu,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1959 dan 1969, PAS telah membuktikan kemampuan menguasai Kelantan dan Terengganu tanpa bergantung kepada rakan kongsi.
“Kejayaan itu membuktikan PAS memiliki kekuatan secara solo, bukan sekadar retorik tetapi realiti politik,” katanya.
Ahmad Zaharuddin Sani tegaskan, walaupun PAS mempunyai sedikit kelemahan di kawasan campuran, namun konsistensi jentera akar umbi menjadi kekuatan utama parti itu.
“Jentera akar umbi PAS sentiasa konsisten dan berdisiplin.
“Sekiranya PRU16 menyaksikan PAS bergerak sendiri, parti itu berpotensi mengekalkan dominasi di kubu tradisi serta mampu menambah kerusi melalui naratif Islam, Melayu dan integriti politik,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan krisis politik Perlis dan jawatan Pengerusi PN yang sehingga kini masih menjadi teka-teki didakwa antara punca berlakunya pergeseran dalaman gabungan itu, yang dikatakan sedikit sebanyak meretakkan kesepakatan yang terjalin.
Namun kepimpinan tertinggi kedua-dua parti menegaskan PN masih utuh walaupun berbalas kenyataan secara terbuka khususnya di media sosial.

0 Comments