KPM GAGAL MEMAHAMI REALITI SEBENAR DASAR KEMASUKAN MURID 6 TAHUN KE DARJAH 1

 


Oleh: Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden 
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Dalam sesi soal jawab Menteri baru-baru ini, Menteri Pendidikan sendiri mengakui bahawa dasar kemasukan murid berusia 6 tahun ke Darjah 1 sepatutnya dilaksanakan dalam RMK-13 sekitar tahun 2031. Namun, Kerajaan tetap memilih untuk menyegerakan dasar ini.

Empat alasan yang dikemukakan oleh Menteri;
1. Amalan pendidikan global.
2. Kemasukan prasekolah 4+ semakin meningkat.
3. Malaysia menuju negara menua.
4. Bekalan pasaran tenaga kerja.

Menteri juga menyatakan bahawa sekiranya timbul masalah pada tahun 2027, ia diharap dapat diselesaikan pada tahun yang sama. 

Kenyataan ini jelas membimbangkan. Bukan soal bagaimana kita menyelesaikan masalah, tetapi bagaimana kita merancang sebaiknya untuk pelaksanaan yang optimum.

Ini mengesahkan bahawa Kerajaan menggubal dasar tanpa melakukan "reality check" yang sepatutnya. Malah, ia juga perlambangan kegagalan menilai fasa pelaksanaan dasar yang sempurna. 

Dalam bahasa mudah: umum dulu, kaji kemudian.

Sesuatu yang tujuannya baik, tetap akan menjadi bermasalah jika perancangan dan pelaksanaannya tempang.

Pendekatan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah tidak berperikemanusiaan. Dasar sesebuah Kerajaan bukan perkara kecil, ia melibatkan kepentingan anak-anak dan sumber mahsul negara yang digerakkan terhadap dasar berkenaan. 

Jika lompang sesuatu dasar, maka negara menanggung kerugiannya. 
Anak-anak bukan bahan eksperimen dasar, bukan juga tikus makmal untuk menguji keberkesanan keputusan dasar yang tergesa-gesa. Kegagalan hari ini akan ditanggung oleh generasi akan datang, bukan oleh menteri yang membuat keputusan.

Semua kebimbangan yang dibangkitkan oleh ibu bapa, pendidik dan pakar adalah berasas dan wajar diberikan perhatian serius sebelum dasar ini dilaksanakan, bukan selepas ia bermasalah di lapangan.

Apa yang rakyat tuntut bukan slogan, bukan infografik berwarna-warni dan bukan ayat motivasi kosong. Apa yang dituntut adalah perincian silibus, kaedah pengajaran dan mekanisme penilaian agar tahap kesediaan dasar ini boleh dilaksana dengan baik dan telus.

Namun sehingga ke hari ini, yang dipertontonkan hanyalah kosmetik komunikasi melalui infografik bombastik, video AI, kenyataan umum dan saluran rasmi yang kosong isinya.

Jika Kerajaan benar-benar yakin dengan pelaksanaan dasar ini, dedahkan perincian sebenar beserta data yang didakwa wujud. Jika belum bersedia, berhenti memperjudikan masa depan anak-anak demi memenuhi keghairahan dasar yang tidak berjiwa.

Post a Comment

0 Comments