PELABURAN MENICON RM1 BILION, KUKUHKAN KEDAH DALAM INDUSTRI TEKNOLOGI TINGGI

 


Oleh: Nur Akasyah Sabri

KULIM - Kedah melakar satu lagi pencapaian besar apabila pelaburan bernilai lebih RM1 bilion berjaya dibawa masuk menerusi pembukaan rasmi Kilang Menicon Malaysia Sdn Bhd di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), sekali gus mengukuhkan peranan negeri itu dalam peta industri teknologi tinggi global.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO, Wong Chia Zhen berkata, pelaburan berskala besar oleh syarikat peranti perubatan terkemuka itu bukan sahaja memperlihatkan keyakinan kukuh pelabur antarabangsa terhadap Kedah, malah menjadikan KHTP antara hab pembuatan bernilai tinggi yang semakin mendapat perhatian dunia.

Menurut beliau, kehadiran Menicon Malaysia membawa impak besar kepada pembangunan ekonomi negeri, khususnya dari segi penciptaan peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan.

“Fasiliti berteknologi tinggi itu dibangunkan menggunakan sistem automasi terkini, teknologi digital bersepadu serta konsep kilang pintar yang mematuhi piawaian global industri peranti perubatan, sekali gus menjadikannya kilang pembuatan terbesar Menicon di dunia.

“Pelaburan ini bukan sekadar angka, tetapi membuka ruang kepada pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan serta kerjasama strategik dengan universiti dan institusi teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada majlis pembukaan kilang berkenaan di sini.

Chia Zhen berkata, lebih 95 peratus pengeluaran Menicon Malaysia dieksport ke pasaran utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat, sekali gus meningkatkan sumbangan Kedah kepada eksport bernilai tinggi negara.

“Selain sektor pembuatan, pelaburan ini turut merancakkan rantaian bekalan tempatan melibatkan bidang pembinaan, logistik, kejuruteraan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang memberi kesan berganda kepada ekonomi dan komuniti setempat,” ujarnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Kedah sentiasa berusaha memastikan persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra perniagaan melalui kerjasama berterusan dengan agensi Persekutuan dan negeri bagi menarik lebih banyak pelabur berkualiti ke negeri ini.

“Pembukaan rasmi kilang Menicon Malaysia ini diharap menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi berterusan, inovasi dan kemakmuran bersama, khususnya rakyat Kedah dan negara secara keseluruhannya, sekali gus meletakkan Kedah sebagai destinasi pelaburan yang diyakini di peringkat global,” katanya.

Post a Comment

0 Comments