Oleh: Nur Akasyah Sabri
KUALA LUMPUR – Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) muncul sebagai antara inisiatif kebajikan berimpak tinggi apabila lebih 4,300 penerima melibatkan pelajar dan keluarga berpendapatan rendah di Kedah dibantu secara berfokus sejak penubuhannya.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, sepanjang tempoh 2023 hingga penghujung 2025, sejumlah RM2.04 juta telah diagihkan secara terancang melibatkan 2,224 pelajar dan 2,117 keluarga B40 menerusi pelbagai program pendidikan dan kebajikan sosial.
Baginda bertitah, pendidikan menjadi teras utama TASK dengan penekanan kepada pembangunan jangka panjang meliputi program pembangunan diri, latihan kemahiran berasaskan TVET, penguasaan Bahasa Inggeris, program jaminan penempatan kerja, pendidikan khas serta Program Sarapan Pagi di sekolah.
“Berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, sebanyak 74 peratus murid berkeperluan pendidikan khas di negeri ini berjaya menyambung pelajaran atau memasuki alam pekerjaan selepas menamatkan persekolahan,” titah baginda.
Tengku Sarafudin Badlishah bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Pelancaran TASK di sini, pada Ahad.
Baginda jelaskan, di bawah teras kebajikan sosial, TASK menyalurkan bantuan menyeluruh kepada keluarga B40 termasuk bakul makanan asas, sumbangan tunai, bantuan kembali ke sekolah, bantuan Ramadan, baik pulih rumah serta sokongan kepada mangsa bencana.
Sektor kesihatan dan kesejahteraan turut diberi keutamaan apabila seramai 2,693 rakyat menerima manfaat termasuk akses kepada air bersih, bantuan susu tepung dan multivitamin khusus untuk ibu hamil berisiko serta kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Langkah ini bertujuan memperluaskan akses penjagaan kesihatan asas dan mengurangkan jurang kesejahteraan dalam kalangan golongan memerlukan,” titah baginda.
Baginda bertitah, TASK juga mengambil pendekatan inklusif melibatkan aspek kemanusiaan dan pemuliharaan, antaranya program perlindungan haiwan apabila 114 haiwan menerima manfaat menerusi inisiatif pemandulan anjing liar, penyelenggaraan pusat perlindungan serta penyediaan makanan kepada haiwan terbiar.
Menurut Raja Muda Kedah, penubuhan TASK merupakan strategi memperkukuh penyampaian bantuan berasaskan enam teras utama iaitu Pendidikan, Kebajikan Sosial, Kesihatan dan Kesejahteraan, Pemuliharaan Alam Sekitar, Perlindungan Haiwan serta Sukan.
“Teras-teras ini dirangka bagi memastikan setiap sumbangan memberi impak sosial yang luas, tersusun dan berterusan, selaras dengan aspirasi membentuk masyarakat yang makmur, harmoni dan berdaya saing,” titah baginda.
Baginda turut memaklumkan, TASK bermula dengan pemeteraian Perjanjian Amanah pada 20 Oktober 2022 sebelum memulakan operasi pada penghujung 2023, dan didaftarkan secara rasmi pada pertengahan 2024.
“TASK kemudiannya diperbadankan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri pada 15 Januari 2025 serta menerima kelulusan pengecualian cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2025 dan 2026,” titah baginda.
Pada sidang akhbar selepas itu, Tengku Sarafudin Badlishah yang juga Presiden TASK mempelawa lebih banyak syarikat korporat dan individu tampil menyumbang bagi memperluaskan manfaat tabung berkenaan.
“Setiap sumbangan amat bermakna dalam memastikan kesejahteraan rakyat Kedah terus terbela,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada para penyumbang yang menyalurkan lebih RM4 juta sempena pelancaran TASK.

0 Comments