Oleh: Ku Azizah Ku Hamid
KUALA MUDA - Konsep agro-pelancongan moden berteraskan pendekatan ‘all-in-one destination’ yang menggabungkan elemen pertanian, rekreasi dan santai mesra keluarga antara produk pelancongan baharu berpotensi tinggi di Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, konsep baharu yang diperkenalkan itu juga dijangka bakal menarik kunjungan penggemar golf dari seluruh negara.
Menurutnya, pembangunan tersebut mencatat pencapaian tersendiri apabila menjadi ladang agro pertama dibangunkan dalam kawasan kelab golf di negeri ini.
“Antara tarikan utama yang disediakan termasuk Mini Zoo interaktif, pengalaman glamping berkonsep alam, aktiviti lasak ATV serta penginapan bilik kaca yang menawarkan panorama ladang dan kehijauan semula jadi yang menenangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Supergolf Farm yang dibangunkan di Permaipura Golf & Country Club, Bedong, di sini.
Mohd Salleh berkata, pendekatan inovatif tersebut bukan sahaja memperluaskan fungsi kelab golf, malah membuka ruang baharu kepada pembangunan sektor pelancongan melalui penawaran aktiviti yang lebih inklusif kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Penanaman buah-buahan eksotik seperti buah emas atau abiu (Pouteria caimito) serta buah anggur Brazil atau jaboticaba (Plinia cauliflora) turut menjadi tarikan istimewa, ia bukan sahaja unik malah berpotensi sebagai medium pendidikan dan pelancongan berasaskan pertanian,” ujarnya.
Tambah beliau, secara keseluruhan, inisiatif berimpak tinggi ini meletakkan Supergolf Farm sebagai produk pelancongan baharu yang berdaya saing dan berpotensi menjadi penanda aras pembangunan agro-pelancongan premium di Kedah, sejajar dengan aspirasi penjenamaan ‘Experience Kedah’.
“Apabila kelab golf turut berkembang sebagai destinasi pelancongan keluarga dan agro moden, ia menjadi petanda yang sangat positif terhadap masa depan industri pelancongan negeri ini,” ujarnya.

0 Comments