SOLIDARITI BUAT TAMIM DAHRI

 

Oleh: Mohamed Sukri Omar 

Ketua Pemuda PAS Selangor

Saya menyatakan sepenuh sokongan pada Saudara Tamim. Saya doakan agar urusan Tamim Dahri dipermudahkan. Apa yang berlaku tidak boleh dilihat secara terpisah daripada puncanya. Ia lahir daripada rasa kecewa yang memuncak apabila pihak berautoriti dilihat gagal bertindak dengan tegas dan adil dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Apabila saluran rasmi tidak diyakini, apabila tindakan yang sewajarnya tidak diambil pada waktunya, maka lahirlah kemarahan rakyat. Rakyat yang terlalu lama memendam rasa akhirnya bangkit bertindak bagi mempertahankan hak mereka. Ini bukan soal emosi semata-mata, tetapi soal kepercayaan yang semakin terhakis.

Namun dalam masa yang sama, kita tetap berpegang bahawa negara ini mesti dipandu oleh undang-undang dan keadilan. Tanggungjawab terbesar terletak pada pihak berkuasa untuk memulihkan keyakinan rakyat melalui tindakan yang telus, berani dan berprinsip.

Isu ini tidak boleh dilihat secara emosi semata-mata. Berdasarkan surat rasmi Majlis Perbandaran Selayang bertarikh 14 Mac 2022, dinyatakan bahawa struktur berkenaan berada di atas tanah hak milik dan pemilik perlu menyelesaikan perkara tersebut kerana ia berada dalam tanah miliknya. Ini menunjukkan pengiktirafan bahawa hak milik tanah adalah jelas.

Lebih penting, prinsip undang-undang juga telah lama diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Sidek bin Haji Muhammad & 461 Ors v Government of the State of Perak & Ors [1982] 1 MLJ 313, bahawa pemilik tanah tidak semestinya perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk mengambil kembali milikannya, dan boleh mengambil tindakan sendiri selagi tidak menggunakan kekerasan berlebihan yang melampaui keperluan munasabah.

Sekiranya kelemahan demi kelemahan terus berlaku tanpa pembetulan yang serius, maka jangan terkejut jika lebih ramai rakyat hilang sabar dan memilih untuk bertindak sendiri kerana merasakan suara mereka tidak lagi didengari.

Negara yang stabil bukan dibina dengan menekan suara rakyat, tetapi dengan mendengar, bertindak dan berlaku adil. Isu kuil tanpa kebenaran yang sah ini perlu dinoktahkan segera dengan tindakan tegas dari pihak berkuasa!

#SolidaritiBuatTamimDahri

Mohamed Sukri Omar 

Ketua Pemuda PAS Selangor

Shah Alam

12/2/2026

Post a Comment

0 Comments