Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Bulan Ramadan bukan sekadar meningkatkan ibadah, ia perlu diterjemahkan dalam bentuk etika kerja, ketelusan dan tanggungjawab kalangan penjawat awam.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setiap jawatan yang digalas adalah amanah besar, manakala setiap keputusan yang dibuat memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Menurut beliau, roh Ramadan seharusnya membentuk penjawat awam yang lebih telus dalam tindakan, jujur dalam urusan, berhemah dalam layanan serta takut untuk mengkhianati amanah.
“Mempercepatkan urusan rakyat adalah amal. Menolak rasuah adalah jihad. Melaksanakan tugas dengan ikhlas adalah ibadah,” katanya ketika merasmikan Program Tanwir Ramadan 1447H/2026M Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Sri Mentaloon, di sini, hari ini.
Program bertemakan ‘Ramadan Infiniti: Amal Tanpa Henti, Jiwa Terinspirasi’ itu memasuki penganjuran kali ke-10 tahun ini.
Sanusi berkata, sekiranya roh Ramadan benar-benar dihayati, negeri ini bukan sahaja memiliki pentadbiran yang cekap, malah warga kerja yang berjiwa besar, berintegriti dan berteraskan nilai ihsan.
“Negeri yang hebat bukan hanya dibina dengan jalan raya dan bangunan pencakar langit, tetapi dengan manusia yang hatinya hidup, akhlaknya mulia dan amanahnya terpelihara,” ujarnya.
Mengulas tema ‘Ramadan Infiniti’, beliau berkata, ia membawa maksud roh Ramadan yang melangkaui batas masa dan tidak terhenti dalam tempoh 30 hari semata-mata.
“Ramadan hadir sebagai medan penyucian jiwa, membangunkan insan daripada kelalaian serta mendidik umat menundukkan hawa nafsu dan menjauhi perkara haram,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Ramadan sebagai ‘universiti rohani’ yang melahirkan insan berintegriti, berakhlak dan sentiasa tunduk kepada Ilahi.
Frasa ‘Amal Tanpa Henti’ pula membawa pengertian Ramadan mengajar bahawa kebaikan tidak mengenal musim dan setiap detik adalah peluang menanam pahala.
“Setiap senyuman adalah sedekah. Setiap kesulitan yang kita mudahkan untuk orang lain adalah jambatan menuju rahmat ALLAH SWT. Amal bukan hanya di sejadah, tetapi juga di pejabat, di jalan raya, di rumah, dalam setiap keputusan dan layanan sesama manusia.
“Konsisten dalam kebaikan dan istiqamah dalam pengabdian,” katanya.
Sementara itu, jelas beliau, konsep ‘Jiwa Terinspirasi’ merujuk kepada jiwa yang disinari kesedaran Ilahi, tidak hanyut dalam kelalaian serta memahami tujuan hidup sebenar.
“Jiwa yang terinspirasi akan melahirkan masyarakat penuh belas ihsan, kepimpinan berhikmah dan negeri yang disinari keberkatan,” katanya.
Sanusi berharap program berkenaan tidak sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya benar-benar dihayati dan mencetuskan perubahan berkekalan dalam kehidupan setiap penjawat awam di negeri ini.
“Semoga Ramadan bukan sekadar singgah, tetapi meninggalkan kesan mendalam dalam diri kita semua, menjadikan kita insan yang beramal tanpa henti dan jiwa yang sentiasa terinspirasi untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT,” katanya.

0 Comments