Oleh: Roslinda Hashim
SIK - Khidmat sukarela yang digalas guru al-Quran, jurumandi jenazah, penggali kubur, bomoh patah dan bidan kampung bukanlah sesuatu yang kecil nilainya, sebaliknya besar ganjarannya di sisi ALLAH SWT.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, meskipun dilakukan tanpa mengharapkan imbuhan, peranan golongan berkenaan amat signifikan dalam memenuhi tuntutan fardu kifayah serta memberi manfaat besar kepada masyarakat.
Menurutnya, kerja-kerja berkenaan mungkin dipandang remeh oleh sesetengah pihak, namun hakikatnya ia membawa nilai yang tinggi dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat.
“Inisiatif ini adalah kesinambungan amanah yang dipelopori bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 2009. Ketika itu saya berkhidmat sebagai Setiausaha Politik beliau.
“Pada peringkat awal, bantuan diberikan kepada guru al-Quran dan bidan kampung sebelum diperluaskan kepada bomoh patah, penggali kubur serta jurumandi jenazah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Daerah Sik di Masjid Al-Maarif, Mukim Jeneri.
Seramai 300 penerima di daerah itu menerima sumbangan kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka yang berkhidmat tanpa mengharapkan balasan.
Bagi DUN Jeneri, seramai 150 penerima menerima sumbangan melibatkan 82 orang di Mukim Jeneri dan 68 orang di Mukim Teloi, terdiri daripada 54 guru al-Quran, jurumandi jenazah (34), penggali kubur (54), serta bomoh patah dan bidan kampung masing-masing empat penerima.
Sementara, DUN Belantik melibatkan 150 penerima, iaitu 105 orang di Mukim Sik dan 45 orang di Mukim Sok, terdiri daripada 46 guru al-Quran, jurumandi jenazah (33), penggali kubur (49), bomoh patah (13), bidan kampung (3) dan mualaf seramai enam orang.
Dalam pada itu, Sanusi melahirkan kebimbangan terhadap trend pembelajaran al-Quran secara dalam talian yang menurutnya lebih bersifat komersial dan kurang membina hubungan rohani antara guru dan murid.
“Kebanyakan anak zaman sekarang mengaji secara dalam talian, ustaz atau ustazah tidak pernah ditemui secara bersemuka. Hubungan sekadar melalui telefon dan bayaran yuran.
“Dahulu, guru al-Quran jarang menerima upah tetap. Mereka mengajar setiap malam dengan penuh pengorbanan. Keluarga yang berkemampuan hanya memberi sumbangan seikhlas hati,” katanya.
Beliau menyarankan agar kaedah pembelajaran al-Quran secara bersemuka diteruskan kerana pendekatan tradisional itu bukan sahaja membantu anak-anak lebih lancar membaca, malah memupuk penghargaan terhadap jasa guru.
Tegas beliau, walaupun sumbangan yang diberikan tidak besar, ia menjadi simbol ingatan dan penghargaan kerajaan negeri terhadap insan-insan yang menghidupkan sendi agama serta memelihara kesejahteraan masyarakat.
“Mungkin kecil pada pandangan sesetengah pihak, tetapi besar maknanya dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat,” katanya.
Tambah Sanusi, kehidupan masyarakat terdahulu juga lebih teratur apabila setiap generasi memahami peranan masing-masing.
“Orang tua memberi nasihat dan pedoman, manakala orang muda mendengar serta mematuhi. Ilmu dan kepakaran diturunkan secara turun-temurun termasuk kepada generasi pelapis seperti bidan dan bomoh patah,” ujarnya.

0 Comments