Oleh: Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Minda Presiden
Isu Epstein menggemparkan dunia kerana ia sangat menyentuh aspek fitrah (naluri dan sifat tabii) manusia. Isu ini berlaku di luar negara dan dikaitkan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Sebuah negara yang didakwa paling maju, kaya, demokratik, pejuang hak asasi manusia, tetapi akhirnya paling liberal dan kemuncaknya lebih bernafsu daripada binatang liar.
Melonjak nafsunya sehingga menyerang Venezuela, negara jirannya yang kaya dengan penawanan presidennya, Nicolas Maduro. Kemudiannya, melompat untuk menakluk Greenland di Kutub Utara dan mahu memisahkannya daripada rakan Eropah yang lain. Setelah itu, mengancam dunia Islam yang dianggap paling berbahaya dengan menjadikan Republik Islam Iran sebagai sasaran utama dan mencabar negara China yang dianggap pencabar ekonomi yang menjadi pesaing utama kemajuan sains dan teknologinya.
Isu Epstein ini menjadi tajuk yang dikaitkan dengan Mossad (ejen perisikan Israel) yang terkenal dengan operasi penyusupan sehingga mempengaruhi tokoh-tokoh besar dalam bidang politik, ekonomi, akademik, kebudayaan, media, khususnya industri perfileman. Malah, sehingga ke peringkat negara-negara besar serta pertubuhan antarabangsa.
Sebenarnya perkara ini telah didedahkan sejak awal abad yang lalu berkenaan gerakan Freemason (Pembangun Kebebasan) yang kini mempunyai hubungan yang erat dengan Mossad. Jeneral Jawad Raf‘at Atalkhan, mantan pegawai tinggi perisikan tentera Turkiye pada zaman Khilafah ‘Uthmaniyyah, melalui tulisannya Asrar al-Masuniyyah mendedahkan hasil penyiasatannya melalui ejen-ejen perisikan Yahudi Zionis yang telah ditangkap. Beliau mengatakan bahawa gerakan Freemason ditubuhkan sejak zaman awal perjuangan kaum Yahudi bagi menegakkan semula sebuah kerajaan yang bertujuan untuk menakluk dunia dengan menguasai seluruh bangsa bukan Yahudi serta merosakkan mereka dengan wajah menarik berjenama kebajikan dan kemanusiaan sejagat.
Perjuangan yang diteruskan sehingga hari ini bermula dengan penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948 yang disokong oleh Lord Balfour, seorang berbangsa Yahudi yang pernah menjadi Perdana Menteri Great Britain, yang menjadi kuasa besar dunia selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Dinyatakan secara terbuka oleh para pemimpin pelampau Yahudi bahawa mereka akan terus berusaha untuk merobohkan Masjid al-Aqsa bagi mendirikan Haikal Sulaiman (kuil besar Yahudi).
Selain itu, gerakan Freemason turut menubuhkan beberapa cawangan termasuk pertubuhan Zionis yang secara terbuka membawa jenama Yahudi dalam perjuangan menubuhkan negara besar bagi kaum Yahudi tersebut.
Zionis ialah gerakan nasionalis Yahudi antarabangsa yang diwujudkan dengan tujuan untuk mendirikan sebuah negara Yahudi di wilayah Palestin. Gerakan Zionis ini muncul di Eropah Tengah dan Eropah Timur pada akhir abad ke-19. Gerakan ini menyeru orang-orang Yahudi untuk berhijrah ke tanah Palestin dengan tujuan kembali ke tanah nenek moyang mereka serta membentuk sebuah masyarakat Yahudi yang harmoni bagi membebaskan diri daripada anti-semitisme dan penganiayaan yang terjadi kepada mereka selama ribuan tahun.
Adapun Freemason pula merujuk kepada Hyram, nama seorang jurutera termasyhur pada zamannya yang telah membina Haikal Sulaiman (kuil Yahudi) pada abad ke-10 atau ke-6 sebelum Masihi. Nama kuil tersebut diambil bersempena nama Nabi Sulaiman AS, seorang rasul yang menjadi raja paling agung dan pernah memerintah dunia yang disebut dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ فَتَنَّا سُلَيۡمَٰنَ وَأَلۡقَيۡنَا عَلَىٰ كُرۡسِيِّهِۦ جَسَدٗا ثُمَّ أَنَابَ ٣٤ قَالَ رَبِّ ٱغۡفِرۡ لِي وَهَبۡ لِي مُلۡكٗا لَّا يَنۢبَغِي لِأَحَدٖ مِّنۢ بَعۡدِيٓۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ ٣٥ فَسَخَّرۡنَا لَهُ ٱلرِّيحَ تَجۡرِي بِأَمۡرِهِۦ رُخَآءً حَيۡثُ أَصَابَ ٣٦ وَٱلشَّيَٰطِينَ كُلَّ بَنَّآءٖ وَغَوَّاصٖ ٣٧ وَءَاخَرِينَ مُقَرَّنِينَ فِي ٱلۡأَصۡفَادِ ٣٨ هَٰذَا عَطَآؤُنَا فَٱمۡنُنۡ أَوۡ أَمۡسِكۡ بِغَيۡرِ حِسَابٖ ٣٩ وَإِنَّ لَهُۥ عِندَنَا لَزُلۡفَىٰ وَحُسۡنَ مََٔابٖ ٤٠
“Dan sesungguhnya Kami telah menguji Sulaiman (dengan satu kejadian) dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya), kemudian dia kembali (bertaubat kepada Kami). (34) Dia berdoa, ‘Wahai Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh sesiapa jua pun kemudian daripadaku! Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Pemberi.’ (35) Kemudian Kami (mengabulkan permohonannya) dengan memudahkan baginya menundukkan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut perintahnya ke arah mana sahaja yang dikehendakinya. (36) Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) jin dan syaitan, (dia memerintah) golongan yang pandai membina bangunan dan yang menjadi penyelam (untuk menjalankan kerja masing-masing). (37) Dan syaitan yang lain terikat dalam belenggu. (38) (Kami katakan kepadanya), ‘Inilah anugerah Kami; maka berikanlah (kepada sesiapa sahaja yang kamu suka) atau tahankanlah untuk dirimu sendiri tanpa sebarang perhitungan pemberian itu.’ (39) Dan sesungguhnya, dia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami dan tempat kembali yang baik (pada Hari Kiamat kelak). (40)” [Surah Sad: 34-40]
Kerajaan Nabi Sulaiman AS merupakan kuasa paling besar pernah yang telah ditamatkan riwayatnya dan menemui ajalnya, tidak akan ada lagi kerajaan yang besar sepertinya.
Gerakan Freemason bergerak atas nama kebajikan dan kemanusiaan tanpa berpaksikan agama dan bangsa. Antaranya mereka bergerak melalui pertubuhan kebajikan seperti Lions Club dan Rotary Club yang menarik golongan atasan menjadi ahlinya.
Di sana terdapat juga cabang-cabang lain dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan yang berkonsepkan liberal terpisah daripada agama. Dalam aspek politik, gerakan ini menguasai negara-negara kuasa besar, manakala dalam aspek ekonomi pula menguasai Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Selain itu, pelbagai teori yang berkait dengan penyembahan kebendaan turut dicipta seperti komunisme, sosialisme, kapitalisme, pragmatisme dan lain-lain. Dapat disaksikan betapa tokoh Yahudi seperti Karl Marx, Adam Smith dan lain-lain terlibat. Sebahagian daripada mereka juga terlibat dalam Revolusi Perancis yang menjadi kebanggaan demokrasi Barat dan diangkat menjadi pejuang hak asasi manusia berkonsepkan liberalisme yang bebas.
Termasuk dalam rangkaiannya ialah fahaman pluralisme (yang menyamakan semua agama), sekularisme (yang memisahkan agama daripada kehidupan), serta gerakan kebebasan mutlak yang menafikan peranan agama dan nilai akhlak yang mulia dalam kehidupan.
Tujuannya bagi merosakkan kaum bukan Yahudi melalui kegagalan politik, ekonomi, hubungan kemasyarakatan, kekeluargaan dan kemanusiaan. Berakhir dengan kaum Yahudi sahaja yang terselamat bagi menakluk seluruh dunia.
Manusia dirosakkan dengan rosaknya sifat fitrah mereka, kerana dianggap manusia sebenar hanya bangsa Yahudi sahaja. Adapun bangsa lain (selain Yahudi) dilabel sebagai goyim (binatang berwajah manusia). Dakwaan ini bertepatan dengan teori evolusi yang diperkenalkan oleh seorang ahli falsafah berbangsa Yahudi, Charles Darwin.
Apabila manusia dicipta dengan bercirikan fitrah berjasad, berakal, mempunyai roh, bernafsu, berkeluarga dan bermasyarakat secara madani, maka perkara tersebut adalah kelebihan dan kemuliaan kepada seluruh manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠
“Dan sesungguhnya, Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah berikan mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka daripada semua makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Isra’: 70]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” [Surah al-Hujurat: 13]
Maka, Allah menetapkan bahawa setiap ciri fitrah manusia mempunyai keperluan makanan dan hajatnya yang perlu dipenuhi. Jasad ialah badan manusia yang mengandungi anggota luaran dan dalaman yang dihidupkan dengan makanan dan minuman yang berkhasiat dan bersih, serta dilindungi jasadnya dengan pakaian.
Manusia juga mempunyai nafsu seperti binatang, namun manusia berbeza daripada binatang kerana manusia dikurniakan akal untuk mengawal nafsunya, sedangkan binatang tidak mempunyai akal dan bertindak menurut nafsunya. Akal manusia mempunyai keupayaan untuk berfikir dan memproses maklumat secara logik yang berpusat pada fungsi otak manusia. Maka, bekalan bagi akal manusia ialah ilmu dan kemampuan berfikir secara terarah.
Rohani (roh atau hati) pula merupakan entiti halus dalam diri manusia yang berkaitan dengan jiwa, emosi, dan hubungan ketuhanan (iman). Ringkasnya, akal berfungsi untuk berfikir, manakala rohani pula berperanan untuk merasa dan menghubungkan diri dengan Pencipta.
Jasad manusia mempunyai nafsu seperti binatang, namun manusia dikurniakan akal dan rohani untuk membimbing serta mengawalnya. Berbeza dengan para malaikat yang mempunyai rohani tanpa jasad dan nafsu, manakala syaitan pula hanya mempunyai nafsu sahaja tanpa dibimbing oleh akal dan rohani seperti manusia.
Maka, Allah menetapkan melalui kitab-Nya yang diwahyukan kepada para rasul yang dipilih daripada kalangan manusia terbaik, diwahyukan hidayah (petunjuk) bagi semua keperluan fitrah tersebut mengikut sempadan halal dan haram yang menjadi penentu baik dan buruk kepada manusia. Semua perkara yang diwajibkan, dihalalkan dan diharuskan membawa manfaat kepada manusia selagi mana ia tidak melampau. Diharamkan semua perkara yang melampau kerana akan menyebabkan kemudaratan yang membawa kemusnahan.
Para ulama’ menetapkan kaedah maqasid al-syariah bagi menjaga agama (hifz al-din) yang menjadi keperluan roh, menjaga nyawa (hifz al-nafs) bagi kehidupan jasad manusia, menjaga akal (hifz al-‘aql) dengan pengisian ilmu yang bermanfaat, menjaga zuriat keturunan (hifz al-nasl) bagi menjaga institusi kekeluargaan dan menjaga harta (hifz al-mal) bagi semua keperluan hidup supaya dapat beramal dengan sempurna. Perkara ini disimpulkan dalam firman Allah SWT:
وَٱلۡعَصۡرِ ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ ٣
“Demi masa! (1) Sesungguhnya, manusia itu benar-benar dalam kerugian. (2) Kecuali bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, serta nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (3)” [Surah al-‘Asr: 1-3]
Gerakan Freemason merosakkan kegiatan manusia dengan memisahkannya daripada keperluan rohani (al-din). Akibatnya, politik dirosakkan oleh akal yang bijak yang tidak mampu mengawal nafsu kebinatangan. Ekonomi pula berpaksikan kebendaan tanpa agama (roh), sehingga tiada lagi sempadan halal dan haram dalam kehidupan individu, keluarga dan masyarakat.
Manusia akhirnya mencari harta dan kuasa berlandaskan nafsu semata-mata. Keadaan ini disimpulkan dalam satu slogan ‘harta, takhta dan wanita’ yang menggambarkan kehidupan yang didorong oleh nafsu tanpa kawalan rohani dan akal.
Kita telah menyaksikan keruntuhan blok Timur yang mementingkan masyarakat secara ekstrem sehingga membatalkan hak individu. Kini, blok Barat yang liberal dan tamak akan harta secara ekstrem juga sedang mengalami keruntuhan. Kemusnahan demokrasi Barat yang tidak boleh mengawal nafsu mahu berkuasa serta keruntuhan diktator yang gila akan kuasa mencetuskan dua perang dunia yang telah diatur oleh gerakan Zionis dan Freemason.
Isu Epstein yang menggemparkan dunia melibatkan para pemimpin negara, raja-raja dan tokoh-tokoh besar ekonomi, media dan lain-lain, adalah agenda memusnahkan manusia pelbagai bangsa sehingga hak asasi manusia ditenggelami oleh hak kebinatangan. Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak menggunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak menggunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak menggunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]
Gerakan Freemason cuba mempengaruhi dua tokoh besar ulama’ Islam; Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad ‘Abduh, ketika mereka berdua berada dalam buangan. Namun, usaha itu gagal apabila mereka berdua menyedari siapa dalang di sebaliknya.
Gerakan Zionis juga gagal dalam cubaan mereka untuk mempengaruhi Sultan ‘Abdul Hamid II dengan rasuah ketika Kerajaan ‘Uthmaniyyah dalam keadaan lemah dan tenat. Akhirnya, beliau dijatuhkan setelah berjaya ditabalkan Mustafa Kamal Ataturk yang berkuasa menegakkan prinsip sekularisme dan menghapuskan kedaulatan Islam.
Sejarah Turkiye menjadi sarang gerakan Freemason dan operasi gerakan Zionis dengan benteng sekularisme dalam perlembagaan yang dikawal oleh tentera. Di samping itu, Turkiye turut diikat untuk melakukan normalisasi hubungan dengan negara haram Israel dan menjadi sebahagian daripada anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sehingga tidak boleh melepaskan diri.
Prof. Najmuddin Erbakan yang berjuang mengembalikan Islam telah digulingkan oleh tentera dan diharamkan partinya beberapa kali. Namun, beliau mengambil peluang daripada prinsip demokrasi dengan bergerak secara damai untuk menubuhkan beberapa parti yang kemudiannya diharamkan dan pengikutnya terus menubuhkan parti-parti baharu bagi menyambung perjuangannya.
Recep Tayyip Erdogan yang mengubah strategi melalui Parti AK (Adalet ve Kalkınma Partisi), mengadakan perjanjian dengan para jeneral untuk tidak mengislamkan Turki secara total, sebaliknya hanya bergantung kepada demokrasi bagi mengamalkan konsep Islam sekular (Islamic Secular) tanpa kuasa politik. Namun, pendekatan ini gagal membatalkan normalisasi dengan Israel dan gagal mengeluarkan Turkiye keluar daripada kepompong NATO, akhirnya hanya membolehkan Turkiye untuk membantu Palestin dari segi kemanusiaan sahaja.
Perkara yang paling membahayakan dan membimbangkan apabila dikaitkan isu Epstein dengan beberapa orang tokoh dari negara-negara Arab dan umat Islam. Perkara ini yang sangat memalukan dan menjejaskan imej Islam di peringkat antarabangsa.
Sepatutnya, para pemimpin negara-negara Arab dan umat Islam perlu bersikap berani dan istiqamah bersama Islam bagi membersihkan diri dan rakyatnya daripada kejatuhan maruah kemanusiaan yang sedang dibongkar rahsianya satu demi satu, kerana perkara yang batil tidak akan kekal bertahan. Firman Allah SWT:
وَقُل رَّبِّ أَدۡخِلۡنِي مُدۡخَلَ صِدۡقٖ وَأَخۡرِجۡنِي مُخۡرَجَ صِدۡقٖ وَٱجۡعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلۡطَٰنٗا نَّصِيرٗا ٨٠ وَقُلۡ جَآءَ ٱلۡحَقُّ وَزَهَقَ ٱلۡبَٰطِلُۚ إِنَّ ٱلۡبَٰطِلَ كَانَ زَهُوقٗا ٨١
“Dan katakanlah, ‘Wahai Tuhanku, masukkanlah aku dengan masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku dengan keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolongku. (80) Dan katakanlah, ‘Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap.’ Sesungguhnya, yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. (81)” [Surah al-Isra’: 80-81]
Firman Allah SWT:
أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَسَالَتۡ أَوۡدِيَةُۢ بِقَدَرِهَا فَٱحۡتَمَلَ ٱلسَّيۡلُ زَبَدٗا رَّابِيٗاۖ وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيۡهِ فِي ٱلنَّارِ ٱبۡتِغَآءَ حِلۡيَةٍ أَوۡ مَتَٰعٖ زَبَدٞ مِّثۡلُهُۥۚ كَذَٰلِكَ يَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡحَقَّ وَٱلۡبَٰطِلَۚ فَأَمَّا ٱلزَّبَدُ فَيَذۡهَبُ جُفَآءٗۖ وَأَمَّا مَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ فَيَمۡكُثُ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ كَذَٰلِكَ يَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ ١٧
“Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang mengambang. Dan daripada apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang batil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.” [Surah al-Ra‘d: 17]
Allah mendedahkan kejahatan Yahudi Zionis dengan firman-Nya:
وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٦٤
“Orang-orang Yahudi berkata, ‘Tangan Allah terbelenggu’, sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki. Dan al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sungguh-sungguh akan menambah kederhakaan dan kekafiran bagi kebanyakan antara mereka. Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka sampai Hari Kiamat. Setiap mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.” [Surah al-Ma’idah: 64]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 4 Ramadan 1447H / 22 Februari 2026
[Bil: 15 / 2026]

0 Comments