𝐒𝐄𝐁𝐄𝐋𝐔𝐌 𝐁𝐔𝐊𝐔 𝐃𝐀𝐍 𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀: 𝐁𝐈𝐍𝐀 𝐉𝐈𝐖𝐀 𝐀𝐍𝐀𝐊 𝐒𝐄𝐉𝐀𝐊 𝐀𝐖𝐀𝐋 𝐔𝐒𝐈𝐀

Oleh : Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat 

Pendidikan awal kanak-kanak sememangnya merupakan asas terpenting dalam membentuk generasi masa hadapan yang seimbang dan berkualiti. Fasa ini bermula seawal dalam kandungan sehingga kanak-kanak berusia enam tahun, iaitu tempoh perkembangan paling kritikal dalam kehidupan manusia. Dalam tempoh ini, perkembangan otak berlaku dengan sangat pesat, emosi mula dibentuk, dan asas keperibadian mula berakar. Apa sahaja yang dialami oleh kanak-kanak pada usia ini akan memberi kesan jangka panjang terhadap cara mereka berfikir, bertindak serta menilai kehidupan apabila dewasa kelak. Justeru, pendidikan awal tidak wajar dilihat hanya sebagai persediaan akademik, tetapi sebagai proses pembinaan insan secara menyeluruh.

Dalam konteks masyarakat muslim, pendidikan awal kanak-kanak sangat wajar dibentuk mengikut acuan yang digariskan oleh ajaran Islam, berlandaskan al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW. Islam melihat pendidikan sebagai usaha melahirkan insan yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek. Wahyu menjadi panduan utama dalam membentuk adab, nilai, tujuan hidup dan tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah serta khalifah di muka bumi. Pendidikan yang berpaksikan al-Quran dan Sunnah akan melahirkan individu bukan sahaja cerdas akal, tetapi juga bersih jiwa, berakhlak mulia dan sedar akan tanggungjawab sosial selarah dengan perintah Allah SWT dalam Surah At-Tahrim : 6 yang bermaksud : 

“𝙋𝙚𝙡𝙞𝙝𝙖𝙧𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙙𝙞𝙧𝙞 𝙠𝙖𝙢𝙪 𝙙𝙖𝙣 𝙖𝙝𝙡𝙞 𝙠𝙚𝙡𝙪𝙖𝙧𝙜𝙖 𝙠𝙖𝙢𝙪 𝙙𝙖𝙧𝙞𝙥𝙖𝙙𝙖 𝙖𝙥𝙞 𝙣𝙚𝙧𝙖𝙠𝙖.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, 

“𝙎𝙚𝙩𝙞𝙖𝙥 𝙗𝙖𝙮𝙞 𝙙𝙞𝙡𝙖𝙝𝙞𝙧𝙠𝙖𝙣 𝙖𝙩𝙖𝙨 𝙛𝙞𝙩𝙧𝙖𝙝, 𝙞𝙗𝙪 𝙗𝙖𝙥𝙖𝙣𝙮𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙢𝙚𝙣𝙘𝙤𝙧𝙖𝙠𝙠𝙖𝙣𝙣𝙮𝙖.” - (HR Bukhari & Muslim)

Sehubungan itu, pendidikan awal kanak-kanak perlu memberi fokus utama kepada pendidikan aqidah dalam pembentukan jiwa, rohani, akhlak, emosi dan jati diri sebenar seorang insan. Proses ini tidak berlaku melalui pengajaran teori semata-mata, sebaliknya memerlukan bimbingan praktikal dan berterusan daripada ibu bapa serta guru. Dalam hal ini, panduan Rasulullah SAW sangat jelas melalui sabda Baginda;

“𝙎𝙪𝙧𝙪𝙝 𝙖𝙣𝙖𝙠 𝙠𝙖𝙢𝙪 𝙨𝙤𝙡𝙖𝙩 𝙠𝙚𝙩𝙞𝙠𝙖 𝙪𝙢𝙪𝙧 7 𝙩𝙖𝙝𝙪𝙣” - (HR Abu Dawud). 

Hadis ini memberi isyarat bahawa sebelum mencapai usia tersebut, iaitu dalam lingkungan 1 hingga 6 tahun, anak-anak telah melalui fasa persediaan asas yang menyeluruh. Pada peringkat ini, mereka sepatutnya sudah dibimbing mengenal asas bacaan al-Quran seperti Surah al-Fatihah dan ayat-ayat lazim, dididik mengurus kebersihan diri serta taharah termasuk istinjak dan wuduk, serta dibiasakan dengan komunikasi sosial melalui penglibatan dalam suasana solat berjemaah bersama keluarga. Semua ini merupakan latihan awal yang membentuk disiplin rohani, kesedaran ibadah dan adab dalam kehidupan seharian. Kanak-kanak belajar melalui pemerhatian dan pengalaman harian. Amalan seperti membiasakan solat, berdoa, berkata benar, bersabar, menghormati orang lain dan mengawal emosi perlu diterapkan secara konsisten dalam kehidupan seharian. Suasana yang penuh kasih sayang, disiplin yang berhikmah serta komunikasi yang baik akan membantu membentuk jiwa yang tenang dan emosi yang stabil.

Selain itu, penerapan nilai-nilai al-Quran dan moral sejak usia awal merupakan asas penting dalam membina jiwa yang kuat. Kisah para nabi, ajaran tentang amanah, syukur, tolong-menolong dan tanggungjawab boleh disampaikan melalui pendekatan yang sesuai dengan dunia kanak-kanak seperti cerita, permainan dan aktiviti harian. Nilai-nilai ini perlu dihayati sehingga menjadi sebahagian daripada keperibadian mereka. Jiwa yang dibina atas asas wahyu akan lebih kukuh dalam menghadapi cabaran dunia moden yang sarat dengan pengaruh negatif dan tekanan sosial.

Dalam hal ini, sebarang usaha memperkukuh sistem pendidikan negara, termasuk cadangan menyesuaikan umur permulaan persekolahan formal, wajar dilihat sebagai ikhtiar meningkatkan kualiti pembelajaran generasi muda. Namun demikian, adalah penting agar fokus pendidikan pada usia enam tahun ke bawah tidak terlalu tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata. Pada tahap perkembangan ini, keutamaan seharusnya diberikan kepada pembinaan jiwa, akhlak, kestabilan emosi dan asas nilai kehidupan. Latihan membaca, menulis dan mengira memang bermanfaat, tetapi ia perlu bergerak seiring dengan pembentukan rohani dan sahsiah.

Pendekatan yang menekankan kekuatan dalaman anak-anak melalui acuan Islam pada usia awal akan menjadi pelengkap penting kepada pendidikan formal negara. Apabila jiwa telah dibina dengan iman, akhlak dan jati diri yang kukuh, pencapaian akademik akan berkembang secara lebih sihat dan bermakna. Inilah asas melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga memiliki keperibadian unggul, nilai kemanusiaan yang tinggi serta ketahanan diri dalam menghadapi cabaran masa depan.


#DMPM

#islamberdaulatwanitabermartabat

Post a Comment

0 Comments