Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang telah menghina kesucian agama Islam di ruangan media sosial beberapa hari lalu. Kenyataan awal Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mengatakan seharusnya mendahulukan tindakan "mengajar berbanding menghukum" sebenarnya jauh daripada konteks dan realiti sebenar yang berlaku.
DPPM memandang ia suatu perlakuan provokatif yang sangat serius di sebalik isu-isu dan naratif berbaur perkauman yang dimainkan oleh segelintir pemimpin bukan Islam dalam isu kuil haram. Tindakan individu terbabit bukan sahaja salah dari segi undang-undang, bahkan juga berisiko mendorong kepada isu keselamatan dan ketenteraman awam.
DPPM meneliti beberapa pautan yang pernah dimuatnaik oleh individu yang sama yang menunjukkan beliau juga pernah menghina Nabi Muhammad SAW sebagai pedofil. Wajarkah individu sebegini sekadar diberikan "pengajaran" sedangkan dia sendiri telah bertindak melampaui batas?
Kes penghinaan terhadap agama Islam bukanlah kali pertama berlaku dalam negara. Namun, sikap bertolak ansur sesetengah pihak tidak kena pada tempatnya sehingga seolah-olah kita pula sedang ditolak beransur-ansur. Apakah ketegasan kita mempertahankan kesucian agama juga bukan suatu bentuk tindakan mendidik kepada mereka di luar sana?
DPPM ingin menegaskan bahawa penghinaan kepada Islam adalah penghinaan kepada negara kerana Islam adalah agama bagi Persekutuan. Oleh yang demikian, tidak ada lagi tolak ansur melainkan hukuman yang berat yang wajar diberikan sebagai pengajaran terhadap tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab ini.
Sekian.
Ustaz Muhammad Hanif bin Jamaluddin
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
25 FEBRUARI 2026 | 7 RAMADAN 1447H
#TerusMemimpin #PemudaPAS

0 Comments