Oleh: Roslinda Hashim
SUNGAI PETANI - Kerajaan Negeri Kedah meneruskan tradisi tahunan menyalurkan sumbangan kepada guru al-Quran, jurumandi jenazah, penggali kubur, bomoh patah, bidan kampung dan mualaf yang berkhidmat secara sukarela dalam masyarakat.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sepanjang 17 tahun pelaksanaannya, keseluruhan sumbangan kepada golongan itu mencecah melebihi RM2 juta.
Menurut beliau, program yang dimulakan pada 2009 oleh bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak itu akan terus dipertahankan sebagai tanda penghargaan kepada golongan terbabit.
“Sehingga kini tradisi berkenaan diteruskan saban tahun bagi memastikan jasa guru al-Quran, jurumandi jenazah, penggali kubur, bomoh patah, bidan kampung dan mualaf sentiasa dikenang.
“Sudah 17 tahun tradisi ini berjalan dengan perbelanjaan melebihi RM2 juta bagi menyalurkan sumbangan kecil kepada anggota masyarakat yang melakukan kerja-kerja sukarela.
“Suka atau tidak, pengganti yang menjadi Menteri Besar mesti meneruskan tradisi ini. Kita perlu mencari dana untuk memastikan program ini terus kekal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Daerah Kuala Muda di Masjid Al-Amin, Sungai Layar, di sini.
Seramai 900 penerima daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka, Tanjung Dawai, Bukit Selambau, Gurun, Bakar Arang dan Sidam menerima sumbangan berkenaan.
Sanusi memaklumkan, pada peringkat awal pelaksanaan, bantuan itu hanya disalurkan kepada guru al-Quran sukarela di kampung-kampung menggunakan dana daripada Yayasan Islam Negeri Kedah sebelum diperluaskan kepada golongan lain yang turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Beliau tegaskan, khidmat yang diberikan golongan terbabit amat besar ertinya, khususnya dalam membentuk sahsiah dan kehidupan beragama masyarakat setempat.
“Kita belajar al-Quran daripada guru-guru ini, kemudian kita pula mengajar anak-anak dan ahli keluarga. Semua itu datang daripada jasa guru yang mendidik kita.
“Perkara baik seperti ini perlu disuburkan kerana ia akan melahirkan lebih banyak kebaikan dalam masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya terus menyemarakkan amalan amar makruf dan nahi mungkar sebagai tanggungjawab bersama umat Islam.
Kerajaan Negeri, katanya, akan terus memperkasa inisiatif seumpama itu demi membawa lebih banyak rahmat serta kesejahteraan kepada rakyat negeri ini.
“Penyerahan sumbangan ini adalah tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka yang berbakti secara sukarela demi kesejahteraan masyarakat. Saya harap tradisi ini dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya.

0 Comments