Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Dapatan Indeks Perpaduan Nasional 2025 yang meletakkan Kedah sebagai negeri tercorot dengan skor 0.593, disifatkan sebagai tidak realistik.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertikaikan kajian tersebut selain tidak menolak kemungkinan wujud unsur sabotaj politik oleh pihak tertentu.
Menurutnya, ia didakwa usaha untuk memburukkan imej Kedah, khususnya kalangan pelabur antarabangsa.
“Saya tak percaya kepada dapatan tersebut. Tengok angka-angka Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kalau nak tahu tentang kemasukan pelabur.
“Kedah mencatatkan pelaburan antara tiga negeri tertinggi sejak 2020 dan menjadi yang tertinggi dalam sektor pembuatan beberapa tahun berturut-turut. Apa lagi bukti yang dimahukan?” katanya.
Menurut beliau, prestasi pelaburan itu mencerminkan kestabilan dan keharmonian negeri, sekali gus menafikan persepsi bahawa perpaduan di Kedah berada pada tahap membimbangkan.
Sanusi turut membidas pihak yang meragui tahap keharmonian di negeri itu supaya turun padang melihat sendiri kehidupan masyarakat pelbagai kaum di Kedah.
“Datang dan duduk di Kedah. Lihat sendiri bagaimana kami mengurus kehidupan secara harmoni dan bersatu padu antara semua kaum - Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli dan lain-lain. Semua baik-baik saja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Kementerian Perpaduan Negara yang merekodkan Kedah mencatat skor terendah iaitu 0.593, jauh di bawah purata nasional 0.701.
Selain Kedah, enam negeri dan Wilayah Persekutuan lain yang mencatat skor di bawah purata nasional ialah Perak (0.648), Kelantan (0.654), Kuala Lumpur (0.659), Selangor (0.675), Pulau Pinang (0.692) dan Putrajaya (0.693).
Laporan tersebut melibatkan 9,448 responden pelbagai etnik, mendapati faktor etnisiti menjadi defisit sosial paling dominan pada kadar 60.3 peratus, diikuti media (57.2 peratus), politik dan federalisme (56.9 peratus), agama (56.7 peratus) serta kelas sosial (47.5 peratus).
Turut dinilai ialah faktor pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender serta perbezaan ruang bandar dan desa bagi mengukur persepsi responden terhadap tahap perpaduan nasional.

0 Comments