Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) dan kegagalan dasar Kerajaan Perpaduan didakwa meresahkan rakyat, sekali gus menuntut satu gabungan baharu yang mampu menjadi ‘tempat bergantung’ untuk menyelamatkan negara ini.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pergolakan dalaman PN yang didakwa menyebabkan hubungan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semakin renggang turut menimbulkan keresahan rakyat.
“Baru-baru ini kita dengar kemelut dalam PN. PAS dengan BERSATU nampak macam sudah tak selaluan. Dalaman BERSATU pun bergolak.
“Rakyat resah termasuk kami di Pejuang, sedih dan risau bila tengok PN dalam keadaan macam ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Menurut Mukhriz yang juga bekas Timbalan Presiden BERSATU, dalam suasana tidak menentu itu, rakyat memerlukan satu harapan baharu yang mampu menyelamatkan keadaan.
“Walaupun PN sedang bergelut dengan masalah sendiri, dengan sokongan dari ‘payung besar Melayu’ dan rakan-rakan pelbagai kaum, Pejuang yakin kita semua masih mampu menyelamatkan keadaan,” katanya.
Sehubungan itu, Bekas Menteri Besar Kedah itu menyeru semua pihak yang cintakan negara ini supaya mengetepikan perbezaan politik.
“Jangan biarkan sengketa membutakan kita daripada musuh sebenar. Semai niat tulus ikhlas untuk bersama-sama membetulkan apa yang dirosakkan oleh kerajaan sekarang,” ujarnya.
PN dijadual bermesyuarat pada Ahad (hari ini) bagi memilih pengerusi baharu susulan kekosongan jawatan itu berkuat kuasa 1 Januari lalu, selepas peletakan jawatan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kekosongan tersebut menyaksikan kepimpinan BERSATU dan PAS saling berbalas kenyataan serta kritikan berhubung isu pelantikan jawatan tertinggi itu.
Ketika PN berdepan tekanan politik, perkembangan mutakhir dalam BERSATU semakin parah apabila Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat pada 13 Februari lalu, mencetuskan spekulasi berhubung hala tuju parti itu, selain gesaan supaya Muhyiddin berundur daripada kepimpinan.
Media turut melaporkan Hamzah dijangka menyertai parti lain atau ‘rumah baharu’ minggu depan bersama 16 Ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau. Perkembangan itu berpotensi mengubah landskap politik pembangkang sekiranya berlaku, sekali gus memberi implikasi besar terhadap kekuatan PN di Parlimen.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata, lebih menyedihkan krisis politik PN itu berlaku ketika negara berdepan isu-isu kritikal antaranya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat, salah guna kuasa, rasuah serta cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar.
“Kerajaan Madani perkenal pelbagai dasar yang menyusahkan dan merugikan rakyat. Timbul persoalan tentang kedaulatan ekonomi negara, seolah kita sudah tak boleh urus sendiri. Rakyat mula tertanya siapa sebenarnya yang pegang tampuk pemerintahan ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah, selain mendakwa masih wujud ‘jerung besar’ yang bebas, selain individu berpengaruh politik diberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA).
Malah, katanya, isu melibatkan angkatan tentera hanya disiasat selepas didedahkan blogger, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan pertahanan negara.
Mukhriz turut membangkitkan laporan media asing yang mengaitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan dakwaan pengaruh mafia korporat, selain mempersoalkan cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar yang didakwanya lebih menguntungkan kroni, manakala golongan kelas menengah bandar terus terhimpit.
Tambah beliau, cadangan akta perolehan kerajaan yang baharu pula disifatkan memberi kuasa besar kepada Perdana Menteri dan menteri memilih kontraktor, manakala Akta Pendanaan Politik masih belum dimuktamadkan.
“Adakah semua ini untuk beri laluan kepada parti pemerintah kutip duit secara senyap untuk persiapan PRU dan PRN akan datang?
“Mana janji nak jaga duit rakyat? Mana janji nak elak skandal seperti 1MDB dulu?” soalnya.
Mukhriz turut mempersoalkan pelantikan jawatan utama negara seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Hakim yang dibuat atas nasihat Perdana Menteri, sekali gus menimbulkan persepsi konflik kepentingan.
“Apabila keputusan memihak kepada kroni tertentu, sudah tentu rakyat mula curiga dan sukar untuk percaya bahawa setiap keputusan itu baik untuk rakyat dan negara,” jelasnya.
Mukhriz tegaskan, hanya gabungan parti-parti Melayu dapat menyelamatkan negara ini daripada terus tersasar.
“Kita wajib berjanji, apabila kita diberi amanah perintah negara nanti, kita tidak akan sekali-kali pecah amanah.
“Kita akan jaga rakyat seperti mana kita jaga keluarga kita sendiri. Kita pertahankan Malaysia seperti mana kita pertahankan rumah kita sendiri.
“Jika kita perangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, perangi betul-betul. Selagi kita bersatu dan ikhlas, kita mampu menyelamatkan keadaan demi negara dan masa depan anak cucu kita,” katanya.

0 Comments