Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Teka-teki kepimpinan Perikatan Nasional (PN) akhirnya terjawab apabila Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi baharu gabungan itu, berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan Menteri Besar Terengganu itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di ibu pejabat PAS, petang ini.
Keputusan tersebut disahkan menerusi kenyataan bersama empat presiden parti komponen, iaitu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.
Menurut kenyataan bersama itu, mesyuarat berkenaan secara sebulat suara melantik Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi baharu PN bagi mengemudi hala tuju gabungan berkenaan dalam landskap politik semasa.
Pada masa sama, mesyuarat turut meluluskan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN yang berkuat kuasa 1 Januari 2026, selepas beliau menerajui gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.
“Perkara-perkara lain akan dibawa untuk dibincang serta diputuskan dalam mesyuarat MT PN yang akan datang,” menurut kenyataan itu yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Ketua Wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin; Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamuddin; serta Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhamad Sanusi Mohd Nor.
Barisan Ahli Majlis Tertinggi yang hadir termasuk Datuk Seri Ronald Kiandee, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Oh Tong Keong, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Idris Ahmad, Wong Chia Zhen, S Subramaniam serta K Sivakumar.
Terdahulu, pada 30 Disember 2025, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu, sekali gus membuka ruang kepada peralihan kepimpinan dalam gabungan tersebut.

0 Comments