Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyeru seluruh rakyat negeri ini menjadikan Ramadan 1447H sebagai titik tolak memperkukuhkan persaudaraan dan merapatkan saf kebersamaan demi membina Kedah yang lebih sejahtera serta diberkati.
Menurut beliau, perbezaan pandangan dan latar belakang tidak seharusnya menjadi jurang pemisah, sebaliknya perlu diraikan sebagai kekuatan untuk memantapkan perpaduan dan kestabilan negeri.
“Ingatlah, sebuah negeri tidak dibangunkan oleh bangunan semata-mata, tetapi oleh jiwa-jiwa yang bersatu, hati-hati yang saling percaya serta tekad yang tidak mudah goyah ketika diuji,” katanya dalam perutusan sempena menyambut Ramadan 1447H, hari ini.
Sanusi tegaskan, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya golongan yang berdepan kesempitan hidup.
“Kepada mereka yang diuji dengan kesempitan hidup, ketahuilah anda tidak pernah dipinggirkan. Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan tiada yang tertinggal daripada merasai sinar Ramadan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mengajak golongan yang dikurniakan kelebihan rezeki agar menjadikan bulan mulia ini sebagai medan memperluaskan kebajikan dan berkongsi nikmat dengan mereka yang memerlukan.
“Terserlah kemuliaan sesebuah masyarakat apabila yang kuat melindungi yang lemah, dan yang senang mengangkat yang susah,” katanya.
Sanusi turut mengingatkan agar Ramadan tidak disempitkan kepada bulan menjamu selera dan kemeriahan, sebaliknya dijadikan kayu ukur kualiti iman dan takwa.
“Jadikan ibadah puasa sebagai ruang mendidik diri, memperkukuh rohani dan jasmani. Ramadan bukan sekadar ‘tetamu’ tahunan, tetapi anugerah Ilahi yang mengajak kita berhenti sejenak daripada hiruk-pikuk dunia, bermuhasabah dan kembali mendengar suara hati serta tuntunan iman,” katanya lagi.
Tambah beliau, Ramadan mendidik umat Islam memahami erti sabar, menundukkan keangkuhan diri dan menyedari bahawa kekuatan sebenar bukan pada apa yang dimiliki, tetapi pada keikhlasan memberi serta kesediaan berkongsi.
“Semoga Ramadan 1447H ini bukan sahaja menambah amal, tetapi memperteguh harapan, menyatukan langkah dan membawa Kedah menuju masa depan yang lebih gemilang.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah dan seluruh kepimpinan, saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak kepada semua umat Islam.
“Semoga setiap detik sepanjang Ramadan dihiasi rahmat, diampuni segala khilaf dan diterima segala amal,” katanya.
Beliau turut mengajak umat Islam mensyukuri nikmat usia yang dipanjangkan untuk kembali bertemu Ramadan, bulan yang sentiasa dinanti kehadirannya dan dirindui pemergiannya.

0 Comments