oleh: Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
Tindakan seorang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah yang didakwa memijak al-Quran merupakan perbuatan melampau dan tidak wajar sama sekali. Ia satu tindakan yang memalukan serta langsung tidak mencerminkan adab, nilai kemanusiaan dan tahap keintelektualan seorang penuntut institusi pengajian tinggi.
Perbuatan menghina agama ini bersifat provokatif. Lebih memburukkan keadaan apabila ia dirakam dan disiarkan kepada umum. Tindakan sedemikian tidak boleh diterima oleh mana-mana pihak, khususnya masyarakat Islam di negara ini, kerana ia mencetuskan kemarahan, kegelisahan awam serta berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.
Al-Quran ialah wahyu Allah SWT yang suci dan menjadi pedoman umat Islam. Menjaga kehormatannya adalah kewajipan. Lebih menyedihkan, kejadian ini berlaku dalam bulan Ramadan, bulan yang dimuliakan dan dikaitkan dengan turunnya al-Quran yang sepatutnya mengajak manusia kepada taubat dan kemuliaan akhlak, bukannya penghinaan.
Sehubungan itu, kerajaan perlu bertindak tegas dan menyemak semula kerangka perundangan sedia ada agar kesalahan penghinaan terhadap agama dapat ditangani dengan lebih berkesan. Penguatkuasaan yang konsisten serta hukuman yang setimpal amat penting bagi mencegah perbuatan serupa berulang, demi memelihara ketenteraman awam, keselamatan negara dan perpaduan kaum serta agama di Malaysia.
Saya menyeru umat Islam agar bertenang, bersatu, dan mempertahankan kemuliaan Islam melalui saluran yang betul serta berhemah. Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita berpegang teguh kepada Rukun Negara sebagai asas pembinaan sebuah negara yang aman, adil dan harmoni.

0 Comments