Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima Anugerah Diamond sempena Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen berterusan Kedah dalam melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon dan agenda kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) masing-masing menerima pengiktirafan 5 Diamond, manakala Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dianugerahkan 3 Diamond.
“Ini satu pencapaian yang membanggakan, 5 Diamond merupakan tahap tertinggi dalam anugerah yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu. Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua PBT terlibat.
“Kita harap mereka dapat mengekalkan kecemerlangan ini dan terus mempertingkatkan usaha supaya tahun hadapan kejayaan yang sama dapat dipertahankan,” katanya.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup di ibu negara pada Khamis.
Mansor memaklumkan, pengiktirafan tersebut merupakan hasil sinergi berterusan antara kepimpinan bandar, sektor swasta dan masyarakat setempat dalam merealisasikan agenda kelestarian.
“Anugerah ini mencerminkan kesungguhan Kedah untuk menjadikan PBT sebagai entiti pentadbiran yang cekap dan progresif dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Semoga kejayaan ini terus memperkukuhkan usaha mewujudkan bandar yang lebih hijau, mampan dan berdaya tahan demi generasi akan datang,” katanya.
Beliau jelaskan, program itu merupakan inisiatif tahunan yang menilai komitmen PBT dalam pelbagai aspek kemampanan antaranya pengurangan pelepasan karbon dan gas rumah hijau, pembangunan bandar mampan serta pelaksanaan konsep bandar pintar (smart city).
“Apabila berlaku audit dan penilaian oleh kementerian, PBT yang memenuhi kriteria akan diberikan pengiktirafan. Di Kedah, empat PBT ini berjaya menonjolkan pencapaian mereka kali ini,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri berharap lebih banyak PBT di Kedah menyertai program seumpama itu pada masa hadapan.
“Walaupun tidak semua PBT mengambil bahagian dalam anugerah ini, namun mereka terlibat dalam kategori lain seperti anugerah PBT paling bahagia (Bandar Baharu), bandar paling bersih (Alor Setar) dan bandar mampan yang turut menyaksikan beberapa PBT di Kedah menerima pengiktirafan sebelum ini,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 146 daripada 156 PBT di seluruh negara telah menerima latihan berkaitan, manakala 70 PBT telah memulakan inisiatif pelaksanaan penyelesaian rendah karbon di kawasan masing-masing.

0 Comments