Oleh: Ustazah Hajjah Nuridah Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM)
Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mendesak Kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bertindak biadab dengan memijak al-Quran dan menghina Islam di platform media sosial Threads baru-baru ini.
DMPM mengucapkan tahniah atas tindakan pantas pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menahan individu tersebut. Namun, DMPM menegaskan bahawa kes ini tidak seharusnya berakhir dengan siasatan semata-mata. Siasatan terhadap individu berkenaan mestilah disusuli dengan pendakwaan di bawah peruntukan undang-undang yang menunjukkan keseriusan Kerajaan Malaysia dalam menangani perbuatan yang mencetuskan kebencian terhadap Islam.
Permohonan maaf beliau tidak memadai terutama sekali apabila dilakukan di saat umat Islam sedang beribadah di bulan Ramadan yang mulia.
DMPM turut menekankan bahawa punca kebencian individu tersebut terhadap Islam perlu dikaji dan ditangani dengan sewajarnya. DMPM khuatir beliau mungkin telah terdedah kepada doktrin atau informasi yang salah mengenai Islam sehingga menimbulkan kebencian keterlaluan. Malaysia adalah Negara yang dihuni majoriti Muslim dengan penuh semangat toleransi.Justeru sikap islamophobia sebegini tidak boleh diterima.
Dewan Muslimat PAS Malaysia akan terus memantau perkembangan kes ini dan berharap Kerajaan Malaysia dapat mengambil tindakan yang memberi pengajaran kepada semua agar perkara yang sama tidak berulang lagi.
𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐣𝐣𝐚𝐡 𝐍𝐮𝐫𝐢𝐝𝐚𝐡 𝐛𝐭 𝐒𝐚𝐥𝐥𝐞𝐡
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM)
26 Februari 2026 bersamaan 8 Ramadan 1447H

0 Comments