Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Sebanyak 22 daripada 25 Super Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah pelan strategik The Greater Kedah (TGK) bagi tahun 2025 telah dipantau, dengan 17 daripadanya mencapai status hijau.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian itu mencerminkan pelaksanaan pembangunan negeri berada pada landasan baik dan selari dengan sasaran ditetapkan.
Menurut beliau, daripada 22 Super KPI yang dipantau, dua berada pada status kuning, satu merah dan dua berstatus hitam yang memerlukan tindakan susulan serta pelan pemulihan lebih berfokus.
“Antara pencapaian berstatus hijau ialah tenaga kerja melebihi 63,000 orang bagi projek berimpak tinggi, sumbangan sektor pelancongan menghampiri RM12 bilion serta sektor perikanan melebihi RM2 bilion.
“Selain itu, liputan 5G di kawasan berpenduduk mencapai 80.2 peratus, dana terkumpul bagi golongan sasar hampir RM345 juta, tahap pendigitalan negeri melebihi 85 peratus dan pembayaran tanpa tunai melebihi 95 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pencapaian Pelan Strategik The Greater Kedah (TGK) 2025 di Wisma Darul Aman, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Haim Hilman Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana TGK.
Sanusi berkata, pencapaian itu membuktikan TGK bukan sekadar perancangan di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan kepada output jelas yang memberi kesan kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Selain Super KPI, katanya, sekretariat turut memantau 137 KPI dan Penunjuk Prestasi (PI) merangkumi 32 KPI dan 105 PI.
“Daripada 32 KPI tersebut, 22 berstatus hijau, tiga kuning, dua merah dan lima hitam. Bagi 105 PI pula, 68 hijau, 16 kuning, lima merah dan 16 hitam.
“Secara keseluruhan, majoriti KPI dan PI berada pada landasan baik, namun status kuning, merah dan hitam perlu diberi perhatian serius melalui tindakan susulan dan penambahbaikan pelaksanaan,” ujarnya.
Beliau tegaskan, tahun 2025 merupakan fasa penting bagi memastikan pelan strategik itu tidak sekadar kekal sebagai dokumen dasar, sebaliknya benar-benar diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur dan dirasai rakyat.
“Walaupun ini kali pertama pemantauan berkala dilakukan, pencapaian ini melambangkan kerja keras pelbagai pihak, daripada peringkat perancangan, pelaksanaan, penyelarasan sehingga pemantauan prestasi,” katanya lagi.
Menurutnya, TGK diwujudkan sebagai kerangka pemacu pembangunan negeri yang mengangkat agenda pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta pengukuhan tadbir urus selari dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035.
“Dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar, Kedah mesti bergerak sebagai negeri yang kompetitif, berdaya tahan dan berorientasikan masa hadapan.
“Setiap pelaksanaan mesti dipacu sasaran terukur, tindakan berfokus dan pelaporan telus supaya impaknya meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kerajaan, memperkukuh keyakinan pelabur serta memperbaiki kualiti hidup rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru semua agensi memperkukuh budaya kerja berprestasi melalui tadbir urus jelas dan berintegriti, selain memastikan perancangan berasaskan data dan bukti, pemantauan berkala dan tindakan pembetulan serta mengutamakan ketelusan dan disiplin pelaporan.
“Kejayaan tidak boleh bersifat silo. Ia mesti kolaboratif melibatkan kerjasama strategik industri, institusi pendidikan, komuniti setempat serta rakan pembangunan.
“Kedah hanya akan melangkah jauh jika semua pihak bergerak seiring dan saling menguatkan,” katanya.
Sanusi berkata, pencapaian 2025 menjadi batu loncatan untuk mempertingkat produktiviti kerajaan dan industri, dengan mempercepatkan projek berimpak tinggi, mengoptimumkan sumber kewangan serta pemerkasaan agenda digitalisasi dan inovasi demi memastikan setiap program memberi nilai dan impak jelas kepada negeri serta rakyat.

0 Comments