INDEKS PERPADUAN NASIONAL 2025: KAJIAN BERCANGGAH FAKTA

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Dapatan Indeks Perpaduan Nasional 2025 yang menyenaraikan Kedah sebagai negeri tercorot dengan skor 0.593 disifatkan bercanggah dengan realiti sebenar di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kajian berkenaan wajar dinilai semula kerana dapatan tersebut tidak selari dengan prestasi pelaburan Kedah yang kekal antara negeri tertinggi sejak 2020, malah muncul negeri tertinggi sektor pembuatan bagi beberapa tahun berturut-turut.

“Saya tak tahu bila kajian itu dibuat, tetapi skor Kedah paling rendah. Saya pun hairan, dengan siapa pula saya berkelahi?

“Indeks Perpaduan diambil kira antara kaum, mereka kata bila perpaduan tak wujud, pelaburan tak akan berlaku. Tetapi dapatan ini bercanggah dengan hipotesis mereka sendiri. Kalau kami tak bersatu padu, macam mana pelabur datang ke Kedah?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pencapaian Pelan Strategik The Greater Kedah (TGK) bagi tahun 2025, di Wisma Darul Aman, di sini.

Berdasarkan laporan Kementerian Perpaduan Negara, menyaksikan Kedah merekodkan skor terendah iaitu 0.593, jauh di bawah purata nasional 0.701.

Selain Kedah, enam negeri dan Wilayah Persekutuan lain yang berada di bawah purata nasional ialah Perak (0.648), Kelantan (0.654), Kuala Lumpur (0.659), Selangor (0.675), Pulau Pinang (0.692) dan Putrajaya (0.693).

Laporan melibatkan 9,448 responden pelbagai etnik itu mendapati faktor etnisiti menjadi defisit sosial paling dominan pada kadar 60.3 peratus, diikuti faktor media (57.2 peratus), politik dan federalisme (56.9 peratus), agama (56.7 peratus) serta kelas sosial (47.5 peratus).

Lima lagi faktor yang dinilai ialah pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender serta perbezaan ruang bandar dan desa.

Mengulas lanjut, Sanusi tegaskan, Kedah mempunyai komposisi masyarakat majmuk yang hampir menyamai peringkat nasional, iaitu kira-kira 22 peratus kaum Cina, tujuh peratus India, satu peratus Orang Asli dan lain-lain serta komuniti Siam terbesar dalam negara.

“Kita ada orang Siam, Orang Asli dan komposisi kaum pelbagai. Tetapi kita tak pernah bergaduh. Kita fundamental dalam amalan budaya. Semua budaya diamalkan ikut cara masing-masing dan kita saling menghormati.

“Orang Melayu dengan cara Melayu, Siam dengan cara mereka, Cina dengan cara sendiri. Tak ada sekatan atau aduan terhadap amalan budaya mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Kedah dikenali sebagai negeri yang kuat pegangan agama dengan jumlah institusi pondok antara terbanyak di negara ini, namun dalam keadaan itu, masyarakatnya tetap menghormati penganut agama lain.

“Kita konservatif dalam agama, tetapi kita tak kacau orang. Orang Siam tak ganggu orang Islam, orang Islam tak ganggu orang lain. Orang Siam pun konservatif dengan Buddha namun mereka tak dakwah orang Islam. 

Itulah hebatnya keharmonian, perpaduan kaum di Kedah.

“Pelaburan pun masuk tinggi dalam keadaan hidup kami yang konservatif,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak pihak yang menjalankan kajian berkenaan supaya turun padang dan menilai sendiri keadaan sebenar di Kedah.

“Saya tak percaya dapatan itu. Saya namakan kajian itu tolol, dan ia perlu dinilai semula.

“Saya jemput pihak yang lakukan kajian itu datang Kedah, rasai sendiri keharmonian yang asli. Di negeri lain mungkin tidak ada kerencaman, kemajmukan macam Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi menyelar tindakan segelintir pihak yang didakwa memanipulasi isu perpaduan sehingga mengaibkan agama.

Menurutnya, Kedah tidak mengamalkan pluralisme agama dan kekal dengan pendekatan konservatif dalam hal ehwal agama, namun tetap menghormati penganut agama lain.

“Kita tak adakan majlis berbuka puasa di rumah ibadat agama lain, kononnya perpaduan. Itu palsu. Habis campur aduk semua, itu pluralisme agama. Pluralisme agama tidak diterima di Kedah. 

“Dalam keadaan hidup kita konservatif itulah kita menghormati amalan agama lain.

“Apa lagi mereka nak buat selain kajian tersebut, untuk jadikan wajah buruk Kedah. Kami ikhlas dengan semua dan tak ada masalah. Kita cakap perkara betul, tak sembunyi apa-apa, mungkin sebab itu diberi indeks yang corot,” katanya sinis.

Post a Comment

0 Comments