TUN MAHATHIR DIRAWAT DI IJN SELEPAS TERJATUH DI RUMAH


Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.30 pagi tadi selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.

Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff mengesahkan perkara itu menerusi makluman di saluran kumpulan media rasmi, di aplikasi WhatsApp, hari ini.

Sufi berkata, pemimpin berusia 100 tahun itu dikejarkan ke IJN oleh ambulans dan dilaporkan dalam keadaan sedar.

“Tun Mahathir telah terjatuh pada awal pagi tadi dan pada kebiasaannya, perkara itu memerlukan pemerhatian lanjut di hospital.

“Saya difahamkan beliau terjatuh ketika berjalan dari satu bahagian di balkoni rumah untuk ke ruang tamu,” katanya.

Sufi berkata, keadaan terkini Tun Mahathir yang merupakan Penasihat Empat Kerajaan Negeri (SG4)
akan dimaklumkan selepas beliau selesai menjalani pemeriksaan oleh pakar IJN.

Bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu pernah dirawat di IJN pada 13 Julai tahun lepas akibat keletihan namun beliau dibenarkan keluar pada hari sama.

Post a Comment

0 Comments