KUKUHKAN KEMBALI IKATAN PN, HENTI LANGGAR ADAB SETIAKAWAN - ABDUL RAZAK

 Oleh: Roslinda Hashim 

PENDANG - Pelanggaran adab setiakawan menjadi punca suasana ‘berkocak’ dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini, sekali gus perlu dihentikan demi menjaga kekuatan persepakatan.

Ketua Bahagian BERSATU Pendang, Abdul Razak Khamis berkata, ketegangan yang berlaku bukan berpunca daripada perbezaan dasar besar atau ideologi yang tidak boleh dirunding, sebaliknya akibat tindakan dan kenyataan tertentu yang menggores perasaan rakan sendiri, termasuk sindiran terbuka.

Menurut Abdul Razak, perkara seperti itu jika dibiarkan hanya akan melemahkan keseluruhan persepakatan, dan ia mesti ditamatkan dengan kembali kepada asas, iaitu adab berkawan.

“Kebelakangan ini, kita harus akui suasana dalam PN sedikit berkocak, ia lebih kepada pelanggaran semangat setiakawan. 

“Ada tindakan dan kenyataan menggores hati rakan sendiri, ada sindiran yang sepatutnya dibincangkan secara tertutup, tetapi dibuka di ruang awam.

“Jika dibiarkan, hanya akan melemahkan keseluruhan persepakatan. Ia mesti ditamatkan dengan kembali kepada asas adab berkawan,” katanya.

Abdul Razak yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkata, prinsip menjaga adab dalam berkawan seharusnya lebih dititikberatkan dalam dunia politik, khususnya apabila beberapa pihak memilih untuk bergerak sebagai satu pasukan di bawah satu perikatan.

“Kita diajar, berkawan itu ada adabnya. Tidak semua perkara boleh diluahkan sesuka hati, tidak semua rasa tidak puas hati wajar dipamerkan di khalayak. 

“Tanpa adab, kawan mudah menjadi lawan. Tanpa hikmah, ikatan yang dibina dengan susah payah boleh runtuh hanya kerana kata-kata yang tidak dijaga,” ujar beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu jelaskan, pakatan politik terbentuk atas kesedaran bahawa perjuangan besar sukar digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan gabungan kekuatan pelbagai rakan untuk saling melengkapi.

“Pakatan politik tidak terbina atas emosi semata-mata. Setiap rakan dalam pakatan ada kekuatan tersendiri, ada yang kuat di akar umbi, ada yang berpengalaman dalam pentadbiran, ada yang mahir mengolah naratif, ada yang cekal menggerakkan jentera. 

“Apabila kekuatan ini digabungkan, ia menjadi satu kuasa yang sukar ditandingi. Namun apabila masing-masing mahu menonjolkan kelebihan sendiri dengan merendahkan kawan, kekuatan itu berubah menjadi titik lemah,” ujarnya.

Abdul Razak turut menekankan, sikap saling menghormati merupakan rukun terpenting dalam membentuk pakatan, dengan menegaskan bahawa kritik dan teguran wajar disampaikan melalui saluran yang betul serta dibincangkan secara tertutup.

“Dalam persepakatan, berunding lebih mulia daripada mengumumkan perbezaan di khalayak ramai. Meja rundingan diwujudkan supaya api kecil tidak menjadi kebakaran besar,” katanya.

Tambah beliau, sikap merendah diri dan kesediaan mengakui keperluan antara satu sama lain amat penting dalam memastikan pakatan terus berfungsi, dan mengingatkan bahawa sikap mementingkan diri adalah ‘racun perlahan’ yang boleh meruntuhkan gabungan dari dalam.

“Persepakatan ialah memahami konsep saling melengkapi, tiada siapa sempurna, itulah sebabnya gabungan kerjasama diwujudkan. Kelemahan satu pihak ditampung kekuatan pihak lain. Namun prinsip ini hanya berfungsi jika semua pihak sedia mengakui mereka memerlukan antara satu sama lain,” katanya.

Mengambil iktibar sejarah lalu, Abdul Razak berkata, kejayaan pakatan antarabangsa seperti Pihak Bersekutu dalam Perang Dunia Kedua membuktikan bahawa perbezaan boleh diurus melalui rundingan tertutup, manakala kegagalan pakatan lain (Axis Powers) pula berpunca daripada runtuhnya kepercayaan dan adab sesama sekutu.

“Jika PN mahu terus kuat dan diyakini rakyat, setiap pihak perlu belajar satu perkara asas, iaitu jaga adab dengan kawan, kerana tanpa kawan, perjuangan akan berserakan.

“Adab berkawan dalam politik bukan soal menjaga perasaan semata-mata. Ia soal kelangsungan perjuangan.

“Persepakatan yang kukuh ialah pakatan yang mampu mengurus perbezaan dengan matang, menegur dengan berhemah, dan berdiam diri apabila diam itu lebih menyelamatkan,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments