Oleh: Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Makna perkataan ‘baiah’ asalnya ialah menjual barangan. Kemudian, baiah dijadikan perkara penting dalam perjuangan Islam kepada mereka yang terpilih dalam kalangan kaum Muslimin yang bersedia menyertai perjuangan. Khususnya, apabila menerima tugasan yang paling mencabar dengan ujian yang besar sehingga mengorbankan harta dan jiwa raga.
Diwajibkan melakukan pengorbanan laksana menjual barangan yang paling berharga bagi dirinya, khususnya harta dan jiwa raganya. Firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَۚ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقۡتُلُونَ وَيُقۡتَلُونَۖ وَعۡدًا عَلَيۡهِ حَقّٗا فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ وَٱلۡقُرۡءَانِۚ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِعَهۡدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِۚ فَٱسۡتَبۡشِرُواْ بِبَيۡعِكُمُ ٱلَّذِي بَايَعۡتُم بِهِۦۚ وَذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ ١١١
“Sesungguhnya, Allah telah membeli daripada orang-orang Mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka. Mereka sedia berperang di jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah dalam Taurat, Injil, dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” [Surah al-Tawbah: 111]
Rasulullah SAW meminta para pemimpin Madinah yang ditemuinya supaya berbaiah setelah mereka memeluk Islam, diikuti baiah setelah mereka bersedia menyerahkan tanah air mereka menjadi bumi pertama ditegakkan sebuah negara Islam, di samping bersedia mengorbankan diri, keluarga, dan harta bagi mempertahankannya dengan lafaz yang terkenal oleh sabda Rasulullah SAW:
تُبَايِعُونِي عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي النَّشَاطِ وَالْكَسَلِ، وَعَلَى النَّفَقَةِ فِي الْعُسْرِ وَالْيُسْرِ، وَعَلَى الْأَمْرِ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيِ عَنِ الْمُنْكَرِ، وَعَلَى أَنْ تَقُولُوا فِي اللهِ لَا تَأْخُذُكُمْ فِيهِ لَوْمَةُ لَائِمٍ، وَعَلَى أَنْ تَنْصُرُونِي إِذَا قَدِمْتُ يَثْرِبَ، فَتَمْنَعُونِي مِمَّا تَمْنَعُونَ مِنْهُ أَنْفُسَكُمْ وَأَزْوَاجَكُمْ وَأَبْنَاءَكُمْ، وَلَكُمُ الْجَنَّةُ.
“Kamu berbaiah (berjanji setia) kepadaku untuk dengar dan taat pada masa cergas dan malas (dalam semua keadaan), bersedia menyumbangkan harta dalam keadaan susah dan senang, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, bercakap (berterus terang) menyatakan agama Allah (yang benar) tanpa peduli akan celaan orang yang mencela, dan bersedia menolongku apabila aku tiba di Yathrib (negerimu selepas aku berhijrah), serta mempertahankan aku sepertimana kamu mempertahankan dirimu, isterimu, dan anak-anakmu, nescaya Allah menjanjikan Syurga kepada kamu.” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 14653, daripada Jabir bin ‘Abdillah]
Lalu mereka melakukan baiah tersebut.
Baiah dilakukan apabila menghadapi ancaman musuh atau berada dalam keadaan yang berbahaya serta apabila melantik jawatan penting seperti khalifah (ketua negara) dan melaksanakan tugasan yang besar.
Baiah juga dilaksanakan dalam peristiwa Hudaibiyah setelah rombongan Rasulullah SAW dan para sahabatnya dihalang daripada menunaikan umrah ke Makkah. Pada waktu itu, ‘Uthman bin ‘Affan RA yang dihantar untuk berunding telah ditahan dan tersebar berita bahawa beliau dibunuh, maka Rasulullah SAW pun berbaiah bersama para sahabat untuk menyerang Makkah. Akhirnya, termeterai perdamaian yang memberikan kemenangan politik, walaupun pelaksanaan umrah ditangguhkan.
Betapa besarnya kewajipan baiah ini telah dinyatakan oleh firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا ١٠
“Bahawasanya orang-orang yang berbaiah (berjanji setia) kepada kamu, sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah atas tangan mereka. Oleh itu, sesiapa yang melanggar janjinya, nescaya akibat dia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri, dan sesiapa yang menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberinya pahala yang besar.” [Surah al-Fath: 10]
Bermaksud bahawa Allah menjadi saksi kepada baiah yang diucapkan, mengetahui niat dalam hati sama ada ikhlas ataupun tidak ikhlas, serta berjanji memberikan kelebihan kepada sesiapa yang ikhlas dan menunaikan janjinya. Adapun kepada yang tidak ikhlas dan melanggar baiahnya, pasti akan menerima akibat yang buruk di dunia dan akhirat.
Walaupun sebab ayat ini diwahyukan dalam peristiwa Hudaibiyah, ia menjadi pengajaran dalam semua keadaan yang diperlukan. Selepasnya dilakukan beberapa baiah, termasuk yang khusus bagi kaum Muslimat RA.
Semua Khulafa’ al-Rashidin dilantik dengan baiah, diikuti pelantikan ketua negara atau raja sepanjang sejarah Islam. Kadang-kadang disertakan dengan lafaz sumpah (qasam) dengan permulaan lafaz ‘wallahi’ (demi Allah).
Baiah juga dilakukan dalam pelantikan yang lain melibatkan semua tugasan yang dianggap penting dan mencabar, sama ada di medan perang ataupun tugasan bersama rakyat seperti dalam bidang pentadbiran, kehakiman, kementerian, pentadbiran daerah, dan lain-lain.
Baiah mewajibkan ketaatan semua pihak dalam semua urusan agama dan pengurusan dunia kepada sesiapa sahaja dalam kalangan pemimpin yang melakukannya, dengan syarat dalam perkara yang bukan maksiat yang diharamkan taat, kerana sabda Rasulullah SAW:
لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ.
“Tidak boleh taat kepada makhluk dalam perkara maksiat terhadap Allah. Sesungguhnya, ketaatan itu dalam perkara kebajikan.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Akhbar al-Ahad, no. 7257 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1840, daripada ‘Ali bin Abi Talib]
Rasulullah SAW dan para khalifah mengambil tindakan disiplin dengan menasihati atau menghukum sesiapa yang melanggar baiah.
Contohnya, tindakan disiplin oleh Rasulullah SAW terhadap Panglima Khalid bin al-Walid RA kerana membunuh tawanan, terhadap Ka‘ab bin Malik dan rakan-rakannya RA yang tidak pergi ke Tabuk apabila dikerah dalam keadaan tidak ada keuzuran, serta terhadap Sa‘ad bin ‘Ubadah RA kerana menyatakan slogan yang salah ketika Fathu Makkah, sepatutnya, “Hari ini hari rahmat dan kasih sayang!” (الْيَوْمَ يَوْمُ الْمَرْحَمَةِ), tiba-tiba beliau mengucapkan, “Hari ini hari sedia berperang!” (الْيَوْمَ يَوْمُ الْمَلْحَمَةِ).
Kadang-kadang ditugaskan seorang ketua yang jahil agama atau jahat kerana keberaniannya atau pengalamannya, dengan syarat perintah yang dikeluarkannya bukan maksiat yang diharamkan.
Rasulullah SAW pernah menugaskan ‘Amr bin al-‘As RA yang baru memeluk Islam (mualaf) kerana pengalamannya, walaupun bersamanya ialah para sahabat yang lebih besar dan kanan kedudukan mereka.
Rasulullah SAW juga pernah menugaskan seorang sahabat yang nakal daripada kalangan Ansar dalam satu sariyah (operasi ketenteraan). Pada masa perjalanan pulang, beliau menyalakan api dan mengarahkan tentera bawahannya untuk terjun ke dalam api tersebut atas alasan mereka diwajibkan taat kepada pemimpin, namun mereka tidak mentaatinya. Apabila mereka menceritakan hal tersebut kepada Rasulullah SAW, Baginda pun bersabda:
لَوْ دَخَلُوهَا مَا خَرَجُوا مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.
“Sekiranya mereka terjun ke dalam api itu, nescaya mereka tidak akan keluar darinya hingga Hari Kiamat (haram mematuhi arahan tersebut kerana diharamkan membunuh diri).” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, no. 4340 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1840, daripada ‘Ali bin Abi Talib]
Baiah mentarbiah pengikut yang ikhlas kepada Allah dan menegakkan Islam dengan segala pengorbanan jasad, fikiran, dan harta, di samping menambahkan ilmu dan akhlak yang berintegriti. Sehinggakan Islam yang bermula dari daerah yang paling jahil, buta huruf, dan miskin harta dan ilmunya mencipta tokoh besar yang menakluk dunia dan memerintah dengan adil.
Inilah hikmah daripada pengorbanan dengan petunjuk ilmu wahyu yang akan dikurniakan akal yang bijak dan ilmu yang bermanfaat bersama hidayah Allah. Para Ahli Kitab yang berilmu, namun tidak ikhlas dengan ilmu mereka akan jauh daripada hidayah dan ilmu mereka tidak memberikan manfaat, akhirnya ilmu mereka dicabut dan akal mereka juga tidak berfaedah.
Mereka yang tidak ikhlas akan gagal dalam ujian perjuangan sama ada akan melarikan diri ataupun dipecat kerana salah laku mereka. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:
الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣
“Alif lam mim. (1) Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1–3]
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewajibkan baiah kepada semua calon untuk pilihan raya setelah diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak dari segi kelayakan peribadi dan keilmuan mereka. Kemudian, pemimpin PAS Pusat yang menentukan sesiapa yang dicalonkan, lalu baiah diakukan kepada pemimpin pusat atau wakilnya yang ditentukan. Baiah itu berkuat kuasa setelah pelantikan apa-apa saja jawatan selepas pilihan raya.
Maka, semua calon yang menang menjadi wakil rakyat pada peringkat Parlimen, Dewan Negara, atau Dewan Negeri tertakluk pada baiah dan sumpah yang diucapkan serta wajib mentaati arahan kepimpinan pusat yang mentadbir negara, negeri, atau parti.
Hal ini termasuk pelantikan jawatan oleh PAS Pusat seperti Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Pesuruhjaya negeri-negeri, dan lain-lain yang diberikan hak kuasa oleh perlembagaan parti.
Maka, baiah mewajibkan ketaatan dalam semua urusan parti dan arahannya yang tidak bersifat maksiat.
Apabila berlakunya salah laku dalam perkara agama dan pentadbiran parti, maka tindakan disiplin boleh dilakukan oleh Jawatankuasa Disiplin PAS atau secara langsung oleh Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat.
Baiah adalah satu kewajipan yang ditunaikan dalam perkara tertentu yang ditetapkan, iaitu seruan agar mematuhi arahan atau pelantikan oleh pemimpin pusat dan peringkat yang lain.
Setiap calon pilihan raya diwajibkan berbaiah di hadapan kepimpinan yang ditugaskan bersama dengan lafaz dan qasam (sumpah) untuk tidak mengkhianati perjuangan dan tidak melawan arahan pemimpin tertinggi parti, di samping dilaknat Allah sekiranya melawan baiah dalam perkara yang bukan maksiat dalam semua urusan dan arahan.
Ketaatan diwajibkan kepada sesiapa sahaja agar patuh kepada pemimpin yang dilantik atau tugas tertentu yang dimasukkan juga dalam baiah, kerana sabda Rasulullah SAW:
اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا، وَإِنِ اسْتُعْمِلَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ، كَأَنَّ رَأْسَهُ زَبِيبَةٌ.
“Dengarlah dan taatlah, sekalipun orang yang ditugaskan untuk menjadi ketua kamu ialah seorang abdi berkulit hitam yang kepalanya seperti anggur kering (berambut keriting).” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, no. 7142, daripada Anas bin Malik]
Sabdanya lagi:
الْجِهَادُ وَاجِبٌ عَلَيْكُمْ مَعَ كُلِّ أَمِيرٍ بَرًّا كَانَ أَوْ فَاجِرًا.
“Jihad wajib dilaksanakan tugasnya bersama ketua yang dilantik sama ada dia seorang yang baik ataupun seorang yang jahat.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Jihad, no. 2533, daripada Abu Hurairah]
Imam al-Tabari RH meriwayatkan ada kalangan khalifah yang meletakkan syarat yang mengikat peribadi seseorang dalam ucapan baiah yang disertakan dengan sumpah.
Al-Quran menyebut ‘ulu al-amr’ pada peringkat negara atau jemaah yang ditaati dengan bersyarat. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya) serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]
Perlembagaan PAS menetapkan bahawa hukum Islam adalah tertinggi dalam perlembagaannya, iaitu dirujukkan kepada al-Quran, Sunnah, ijmak, dan qias yang nyata dalam mazhab Shafi‘i, di samping merujuk kepada ijtihad para ulama’ terdahulu dan ijtihad terkini oleh Majlis Syura Ulamak.
Majlis Syura Ulamak dianggotai oleh ahli daripada kalangan ulama’ PAS dalam segala lapangan ilmu Islam dan segala cabangnya yang mampu berijtihad secara jama‘i. Mereka adalah dalam kalangan pensyarah, ilmuwan Islam, dan ulama’ yang tersohor daripada ahli PAS. Mereka juga ialah rujukan dari segi hukum Islam. PAS tidak bergantung dengan satu kepala seorang mufti sahaja, tetapi secara berjemaah (kolektif).
Majlis Syura Ulamak dijamin tidak tunduk kepada mana-mana tekanan oleh pihak yang menganggap diri mereka berkuasa. Adapun seorang mufti tidak ada kuasa mengatasi pihak yang dianggap lebih tinggi yang melantik dan memberikan tauliah kepadanya.
PAS ditadbir oleh para ulama’, teknokrat, dan ilmuwan dalam segala jurusan, bukan sekadar dalam jurusan politik. Mereka ialah ulu al-amr yang ada pada semua peringkat dan cawangan PAS.
Kepatuhan kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan Sunnah) adalah tidak berbelah bahagi. Adapun kepada ulu al-amr pada semua peringkat adalah wajib ditaati dalam perkara agama dan pentadbiran, dengan syarat tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.
PAS menegakkan prinsip jemaah (parti) menguasai kerajaan daripada kalangan ulu al-amr atau ahl al-hall wa al-‘aqd (أهل الحل والعقد).
Sistem pemerintahan Islam meletakkan perlembagaan Islam adalah tertinggi. Khalifah atau raja berada bawah perlembagaan. Maka, Rasulullah SAW mengekalkan raja-raja yang memeluk Islam seperti al-Najasyi Raja Habsyah, Raja Masqat, dan Raja Oman yang dipandu bawah perlembagaan Islam yang diurus oleh ahl al-hall wa al-‘aqd. Khalifah, raja, dan ahl al-hall wa al-‘aqd semuanya bertaraf ulu al-amr.
Pada zaman kehilangan negara Islam selepas dijajah, maka jemaah atau kumpulan Islam mengambil alih kepimpinan Islam, berpandukan firman Allah SWT:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤
“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]
Perkataan ‘ummah’ ditafsirkan dengan jemaah atau parti.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦
“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela! Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (parti atau agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54–56]
Seterusnya, ia ditafsirkan oleh sabda Rasulullah SAW:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.
“Sentiasa ada dalam kalangan umatku kumpulan yang menzahirkan kebenaran (Islam), mereka tidak boleh dimudaratkan oleh kalangan yang mengecewakan mereka, sehingga datangnya urusan Allah (memenangkan mereka), mereka masih dalam keadaan demikian.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1920, daripada Thauban bin Bujdud]
PAS ditubuhkan oleh para ulama’ dan umara’ yang berjuang sejak zaman penjajahan serta memenuhi ciri-ciri parti Islam yang disebut dalam al-Quran selepas kehilangan negara Islam. Maka, tindakan baiah adalah salah satu amalannya.
Majlis Syura Ulamak yang bertindak dalam aspek hukum menyediakan lafaz baiah dan sumpah yang melengkapi semua syarat baiah. Adapun kuasa pemantauan dan tindakan terhadap sesiapa yang melanggarnya berada bawah kepimpinan yang mentadbir parti sama ada oleh Jawatankuasa Disiplin ataupun secara langsung oleh AJK PAS Pusat.
Demikianlah kenyataan PAS berkaitan baiah yang berdalilkan al-Quran dan Sunnah serta ijtihad para ulama’ terdahulu.
Kini, PAS telah berjaya melahirkan para pemimpin yang berwibawa dan berintegriti sehingga berjaya memerintah beberapa kerajaan negeri yang selamat daripada gejala rasuah dan salah laku yang disaksikan oleh kawan dan lawan, kerana mereka yang gagal dalam baiah akan melarikan diri atau dipecat daripada jemaah.
Kepada sesiapa yang membuat kenyataan tanpa dalil daripada ilmu Islam, ingatlah firman Allah SWT:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولٗا ٣٦ وَلَا تَمۡشِ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَحًاۖ إِنَّكَ لَن تَخۡرِقَ ٱلۡأَرۡضَ وَلَن تَبۡلُغَ ٱلۡجِبَالَ طُولٗا ٣٧ كُلُّ ذَٰلِكَ كَانَ سَيِّئُهُۥ عِندَ رَبِّكَ مَكۡرُوهٗا ٣٨
“Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya. (36) Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung. (37) Semua itu kejahatannya amat dibenci di sisi Tuhanmu. (38)” [Surah al-Isra’: 36–38]
Segala tindakan yang diambil oleh PAS dan langkahnya tetap berpandukan ilmu hukum Islam dan menghormati konsep syura mengikut perkembangan semasa yang matang dan sejahtera.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Rajab 1447 / 5 Januari 2026
[Bil: 1 / 2026]

0 Comments