KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan mengalami keretakan pada bahagian pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya awal pagi tadi.
Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff berkata, selepas penilaian perubatan dijalankan, Tun Mahathir dijangka berada di Institut Jantung Negara (IJN) selama beberapa minggu lagi bagi tujuan rawatan serta pemerhatian lanjut.
“Selepas penilaian perubatan dilakukan, doktor sahkan Tun Mahathir mengalami keretakan pada pinggul kanan. Beliau akan terus dipantau di IJN untuk beberapa minggu lagi,” katanya menerusi makluman di saluran kumpulan media rasmi aplikasi WhatsApp, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Tun Mahathir dimasukkan ke IJN pada kira-kira 9.30 pagi selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya, dan dilaporkan berada dalam keadaan sedar.
Menurut Sufi, pemimpin berusia 100 tahun itu dipercayai terjatuh ketika berjalan dari satu bahagian balkoni rumah ke ruang tamu.
“Tun Mahathir terjatuh pada awal pagi sekitar 7.30 pagi dan lazimnya kejadian sebegini memerlukan pemerhatian lanjut di hospital,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan lanjut mengenai keadaan terkini Tun Mahathir yang juga merupakan Penasihat Empat Kerajaan Negeri (SG4) akan dimaklumkan selepas pemeriksaan menyeluruh oleh pakar IJN selesai dijalankan.
Tun Mahathir yang juga Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 pernah menerima rawatan di IJN pada 13 Julai tahun lalu akibat keletihan, namun dibenarkan pulang pada hari yang sama.

0 Comments