Dalam landskap politik Malaysia hari ini yang semakin sarat dengan emosi, pertentangan dan persaingan kuasa, rakyat sebenarnya mahukan satu perkara yang jauh lebih asas — kepimpinan yang bersih, berintegriti, adil dan berwawasan. Rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang mendambakan perubahan yang benar-benar mampu menjaga kebajikan mereka dan membawa negara kembali ke landasan potensi sebenar.
Inilah politik yang ditawarkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
PAS percaya bahawa masa depan Malaysia hanya boleh dibina melalui politik nilai dan gagasan bersama, bukan politik kepartian yang sempit dan memecah-belahkan. Atas prinsip ini, PAS mengajak semua pemimpin — Melayu dan bukan Melayu — untuk bersama-sama mengubah kompas politik negara ke arah penyatuan nasional berasaskan nilai sejagat seperti integriti, keadilan, keterangkuman dan kematangan kepimpinan.
Namun begitu, PAS mengakui bahawa cabaran terbesar hari ini ialah masih wujud salah faham dan persepsi negatif dalam kalangan sebahagian rakyat Malaysia, khususnya berkaitan pendirian PAS terhadap bukan Islam. PAS sering dilabel sebagai parti yang kononnya menyekat kebebasan agama dan budaya, memaksa hukum Islam ke atas bukan Islam, menghalang hiburan serta tidak mesra kaum lain.
Hakikatnya, semua dakwaan ini tidak berasas.
Realiti di negeri-negeri yang ditadbir PAS seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis membuktikan sebaliknya. Keharmonian antara kaum terus terpelihara, kebebasan beragama dijamin, dan kepelbagaian budaya dihormati. Tiada bukti menunjukkan paksaan agama ke atas bukan Islam, dan tiada larangan mutlak terhadap hiburan atau kehidupan sosial selagi ia tidak bercanggah dengan nilai moral dan tatasusila sejagat.
PAS memahami bahawa perpaduan kaum adalah tunjang kestabilan Malaysia. Atas kesedaran ini, PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebagai wadah rasmi penglibatan bukan Islam bersama PAS. Malah, PAS sentiasa bersedia bekerjasama dengan semua parti politik, sama ada Melayu atau bukan Melayu, demi membina negara yang lebih sejahtera dan stabil.
Dari sudut dasar, PAS memberi tumpuan kepada isu-isu teras rakyat.
Dalam pendidikan, PAS menyedari wujud ketidaksamarataan akses, khususnya kepada golongan miskin tanpa mengira kaum. PAS komited memperjuangkan pendidikan berkualiti dari peringkat rendah hingga pengajian tinggi agar setiap anak Malaysia mempunyai peluang kerjaya yang lebih baik.
Dalam kesihatan, PAS memahami kesukaran rakyat mendapatkan rawatan yang cepat, mampu milik dan berkualiti di hospital kerajaan. PAS beriltizam memperbaiki akses serta mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya untuk golongan berpendapatan rendah.
Dalam pekerjaan dan ekonomi, PAS menekankan peningkatan kemahiran dan produktiviti rakyat supaya pendapatan dapat ditingkatkan dan kualiti hidup diperbaiki. PAS juga komited memperkasa sektor pertanian dan industri strategik, serta mengubah Malaysia daripada sekadar pengeksport komoditi kepada pengeluar produk akhir bernilai tinggi.
PAS turut memberi keutamaan kepada pembangunan teknologi tinggi, penyelidikan dan inovasi, dengan penetapan hala tuju serta petunjuk prestasi yang jelas merangkumi institusi pendidikan, sektor awam dan swasta.
Keyakinan PAS berpaksikan kepada kepimpinan yang beriltizam tinggi, disokong oleh barisan profesional dan teknokrat berkemahiran merentas pelbagai sektor. PAS terbuka memanfaatkan kepakaran semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau ideologi politik.
PAS juga dikenali sebagai antara parti politik yang paling kurang terpalit dengan rasuah, serta telah membuktikan keupayaan menjaga keharmonian dan kebajikan rakyat di negeri-negeri yang ditadbirnya.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia diseru untuk mengenali PAS dengan lebih dekat, berdialog secara terbuka dengan kepimpinannya, dan menilai PAS berdasarkan rekod, dasar dan nilai yang dibawa — bukan melalui persepsi dan propaganda.
PAS adalah parti rakyat.
PAS adalah parti untuk semua.
PAS adalah masa depan Malaysia.

0 Comments