Roslinda Hashim
Ketua Pengarang UPDA
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyeru seluruh warga negeri ini agar menjadikan tahun baharu 2026 sebagai medan muhasabah diri dan titik permulaan kepada pembinaan masa depan lebih cemerlang demi kesejahteraan bersama.
Menurut beliau, rakyat Kedah perlu bersatu hati dan berganding bahu dalam membawa perubahan positif tanpa mengira perbezaan fahaman atau latar belakang, selain memperbaharui azam untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Saya menyeru seluruh warga Kedah untuk kita sama-sama perbaharui azam dan tekad bagi menjadi hamba ALLAH SWT yang lebih taat, membentuk masyarakat yang penyayang serta bersatu padu tanpa mengira perbezaan fahaman atau latar belakang.
“Marilah kita menanam semangat untuk berubah daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada kejahilan kepada ilmu serta daripada kebencian kepada kasih sayang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2026, di sini, hari ini.
Sanusi berharap, ketibaan tahun baharu seharusnya menjadi pencetus kepada setiap individu untuk bermuhasabah diri bagi memberi nilai dan makna yang lebih baik dalam kehidupan.
“Islam amat mementingkan peningkatan kualiti dalam kehidupan umatnya yang disandarkan dengan tempoh masa untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari,” ujarnya.
Beliau tegaskan, sikap segelintir pihak yang menganggap perubahan tahun sekadar peralihan masa tanpa sebarang makna signifikan merupakan satu kerugian besar.
“Bagi sesetengah orang, kehadiran tahun baharu sekadar perubahan masa yang datang dan pergi dalam kehidupan. Sesungguhnya sikap seperti ini amatlah merugikan.
“Sebagai orang beriman, kita haruslah mempunyai kesedaran untuk hargai masa yang ditandakan dengan perubahan detik, minit, jam, hari, bulan dan tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kehadiran tahun baharu seharusnya digunakan sebagai peluang untuk melakukan pembaikan diri dan masyarakat serta memperkukuhkan perpaduan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan sejagat.

0 Comments