Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hanya Islam mampu menyelamatkan negara dan dunia daripada kezaliman serta penindasan yang semakin berleluasa akibat sistem pemerintahan yang tidak berpaksikan ajaran Islam.
“Yakinlah, Islam sahaja yang boleh selamatkan dunia ini. Selain daripada itu, kebanyakannya telah rosak dan mendedahkan manusia kepada kezaliman serta penindasan,” katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, tanpa berpandukan Islam menyebabkan sesebuah negara akhirnya dikuasai oleh pihak lain yang tidak menjadikan Islam sebagai asas berpolitik, termasuk situasi yang berlaku ketika ini di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Pemimpin yang perintah tetapi tidak berpegang pada Islam, akhirnya mereka dikuasai orang lain yang tidak menjadikan Islam sebagai asas berpolitik.
“Oleh itu perjuangan untuk ambil alih negara dan menguasai sistem politik semula mesti diteruskan oleh PAS secara bersungguh-sungguh dalam keadaan apa sekalipun,” ujar beliau.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah tegaskan, PAS perlu terus berusaha menyediakan medan yang sesuai untuk Islam berkembang sebagai sistem pemerintahan, dalam masa sama memberi jaminan kehidupan adil dan terpelihara kepada golongan bukan Islam.
“Kita ini mulia dan selamat dengan Islam. Hati kita bersih dengan Islam. Kita tidak menindas sesiapa, kita berlaku adil, tidak diskriminasi dan tidak menafikan hak mana-mana rakyat ketika menjadi kerajaan. Itu prinsip Islam,” katanya.
Beliau tegaskan, Islam melarang kezaliman, diskriminasi serta penafian hak, malah menuntut umatnya menghormati pihak lain selagi hak dan maruah Islam tidak digugat.
Namun katanya, apabila ada pihak cuba menghakis hak umat Islam serta melampaui batas, maka wujud garis sempadan yang tidak boleh dilanggar.
“Bila mereka telah hilang kewarasan dan mengenepikan perasaan, cuba hakis hak kita, kita pun ada perasaan. Ini yang menjadi garis sempadan, jangan langgar mari belah sini sebab kita tak pernah langgar pergi belah sana,” katanya.
Sanusi turut mengingatkan sejarah membuktikan Islam sejak lebih 1,400 tahun lalu telah berjaya menghentikan peperangan antara kaum, membawa keamanan, ilmu pengetahuan serta melahirkan cendekiawan yang membangunkan tamadun dunia.
“Hebatnya Islam mencerahkan kehidupan manusia, membawa keadilan, kemajuan, teknologi dan ilmu berteraskan akidah untuk faedah semua. Itu yang kita mahu ulangi.
“Kita mahu Islam kembali memandu kita selepas kesan penjajahan yang menghakis pemikiran orang Melayu terhadap keupayaan Islam, selepas ditanamkan rasa ragu dan kurang yakin bahawa Islam syumul dan boleh jadi kerajaan,” katanya.
Mengulas sejarah perjuangan PAS, beliau berkata, penubuhan parti itu pada 1951 adalah sebagai wadah untuk membawa politik Islam dalam sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan yang diamalkan negara.
“Politik dan Islam tidak boleh dipisahkan. Selepas puluhan tahun, barulah orang mula menerima Islam dan politik tidak boleh dipisahkan.
“PAS ditubuhkan sebagai medium untuk mengangkat keyakinan bahawa Islam itu syumul dan lengkap sebagai sistem pemerintahan.
“PAS juga adalah wadah untuk mengajak orang Melayu kembali yakin dan menjadi hebat dengan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi mengingatkan bahawa penghakisan kuasa politik umat Islam akan memberi kesan besar kepada aspek lain termasuk ekonomi sekiranya tidak ditangani dengan kesedaran dan keazaman bersama.
“Apabila rakyat yakin bahawa ada perintah untuk Islam memerintah bumi ini seperti yang disebut dalam al-Quran dan hadis, termasuk para Nabi SAW, barulah kita mampu bangkit semula,” katanya.
ROSLINDA HASHIM

0 Comments