SEKTOR AWAM PERLU BERGERAK SEIRING DENGAN KEPERLUAN RAKYAT

 

Oleh: Nur Akasyah Sabri

ALOR SETAR – Sektor awam perlu sentiasa bergerak seiring dengan keperluan serta cabaran semasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara lebih efisien.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, memasuki tahun 2026, anjakan dalam memahami cabaran semasa secara lebih jelas merupakan satu keperluan penting bagi membolehkan kerajaan menghasilkan kemudahan serta penyelesaian yang menepati keperluan rakyat.

“Pemerintahan yang hebat bukan semata-mata dibentuk oleh dasar yang jelas, sebaliknya dimuliakan oleh penjawat awam yang berkhidmat dengan keikhlasan.

“Saya yakin penjawat awam yang telah sekian lama berkhidmat telah melalui proses panjang serta perubahan demi perubahan dalam sistem pentadbiran bagi menambah baik perkhidmatan sesuai dengan peredaran masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat 2026 sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah, di sini hari ini.

Menurut beliau, cabaran yang semakin mencabar ketika ini turut dipengaruhi oleh liputan media yang semakin meluas, sekali gus memberi tekanan kepada sektor awam untuk bekerja dengan lebih cekap.

Dalam pada itu, Sanusi mengingatkan penjawat awam agar mengurus pentadbiran negeri ini melalui amanah, ilmu, keberanian serta sifat ihsan yang berteraskan hati nurani.

“Orang politik datang dan pergi dalam menggubal serta melaksanakan dasar dan polisi, namun penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dilaksanakan oleh penjawat awam,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar sistem sedia ada dapat terus dipertingkatkan selari dengan era digitalisasi yang menuntut kepantasan, kecekapan dan kepuasan rakyat, meskipun tidak semua proses dapat dilaksanakan sepantas yang diinginkan.

Namun, katanya penjawat awam perlu sentiasa bersedia untuk memperjelaskan sebab dan keperluan proses tertentu yang perlu dipatuhi berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Peraturan yang ditetapkan bukan sahaja bertujuan memperkemaskan pentadbiran awam, malah berperanan melindungi setiap keputusan yang dibuat serta menjaga sektor awam daripada cabaran yang semakin berat.

“Semoga tanah serendah sekebun bunga ini kelak akan menjadi kediaman yang berdaya huni ‘Bi’ah Sakinah’ dengan persekitaran harmoni, tenang dan mententeramkan jiwa bagi semua warganya.

“Mudah-mudahan melalui tangan kita yang bersih dari segala dosa, serta hati yang tulus ikhlas, Kedah akan menjadi sebuah negeri ‘Baldatun Toyyibatun Warrabbun Ghafur’, diberi pengampunan oleh Rabb Yang Maha Agung,” ucapnya.

Post a Comment

0 Comments