Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pelantikan pemimpin yang mempunyai ‘beban’ boleh menghalang keberanian untuk membuat keputusan besar dan tindakan itu merugikan negara.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemimpin sebegitu mudah dikritik dan tindakan mereka sering dipersoalkan, menyebabkan keputusan penting terpaksa dibatalkan.
“Bila dia bercakap, orang akan usik, inilah kesannya apabila dilantik pemimpin yang ada ‘beban’,” katanya secara sinis.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat 2026 sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah, di sini hari ini.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, pada masa akan datang, pemimpin yang mempunyai ‘beban’ sedemikian seharusnya tidak dilantik bagi memastikan keputusan strategik dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Bila kita ada salah silap dan nak buat suatu tindakan yang berisiko, orang akan ungkit. Akhirnya kita terpaksa patah balik.
“Itu masalah bila negara ada pemimpin seperti itu. Rugi lah bila nak buat sesuatu tetapi terpaksa patah balik kerana orang akan usik, aipp…. jadi dia pun patah balik.
“Itu belum di peringkat antarabangsa, baru dalam negara kita, orang sebut 47 saja, berhenti habis, rugi negara ini,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 6 Januari, yang mengumumkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) hingga tamat penggal.
Keputusan itu dibuat mesyuarat Biro Politik UMNO dan menegaskan ia merupakan pendirian parti itu dalam kerjasama politik sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan pada Disember 2022.
Ahmad Zahid sebelum ini menolak cadangan supaya UMNO dan Pas menghidupkan semula kerjasama di bawah payung Muafakat Nasional (MN).

0 Comments