SADA LANCAR INISIATIF PENGECUALIAN BAYARAN BIL AIR KEPADA 1,000 ASNAF

Oleh: Nur Akasyah Sabri



ALOR SETAR – Syarikat Air Darul Aman (SADA) melancarkan inisiatif pengecualian bayaran bil air kepada 1,000 asnaf untuk penggunaan 20 meter padu pertama.


Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelaksanaan inisiatif ini bermula pada tahun ini.


“Ketika ini, pihak teknikal sedang membuat pengiraan peruntukan, dianggarkan sekitar RM200,000 setahun. 


“Pelaksanaannya dibuat berdasarkan kemampuan dan keupayaan sedia ada, insya-ALLAH jumlah ini akan ditambah pada masa akan datang,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat 2026 sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah, di sini hari ini.


“Pelaksanaan inisiatif ini hasil pertimbangan oleh SADA berdasarkan kemampuan semasa, tanpa sebarang tekanan terhadap sektor awam melalui pelaksanaan dasar bersifat populis,” jelasnya.


Menurutnya, pendekatan ini membolehkan inisiatif yang diperkenalkan dilaksanakan secara realistik sekali gus memberi manfaat kepada orang ramai.


Sanusi turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah atas pelancaran Buku Mewah Ulu Muda State Park - Beneath the Canopy. 


Buku yang mengetengahkan keindahan panorama, kekayaan ekosistem serta khazanah biodiversiti Ulu Muda ini memaparkan seluas 26,270 hektar kawasan perlindungan yang dilindungi.

Post a Comment

0 Comments