Oleh: Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Ahli Majlis Tertinggi PN
Timbalan Presiden PAS
Pelbagai kemelut yang berlaku ketika ini menuntut semua pihak, khususnya dalam setiap parti komponen Perikatan Nasional (PN), kembali ke meja perbincangan. Semua pihak perlu menghentikan kenyataan terbuka di ruang awam yang hanya mengeruhkan keadaan, sebaliknya mengutamakan mekanisme dalaman bagi meleraikan kemelut secara berhemah.
PN ialah gabungan yang menjadi harapan rakyat. Kesepaduan yang dibina selama ini tentunya tidak disenangi, malah dicemburui oleh seteru politik, khususnya PH-BN. Justeru, jangan kita membuka ruang yang memudahkan musuh memecah-belahkan perpaduan PN. Perbezaan pandangan mesti diurus dengan matang agar muafakat sedia ada terus utuh.
Dalam muafakat politik, tidak semua yang kita inginkan akan diperoleh; begitu juga sebaliknya. Namun, sikap saling menghormati serta berpegang teguh kepada asas persefahaman adalah kunci kekuatan gabungan.
Ketika ini, ada pihak yang bertepuk tangan melihat PN bertelagah sesama sendiri. Mereka mengharapkan muafakat ini berakhir. Dalam keadaan begini, tidak mustahil musuh menyelinap masuk untuk menimbulkan keraguan dan pertikaian, sehingga muafakat semakin melemah.
Kita mesti kembali memperkukuh muafakat bersama, mengeratkan jalinan, dan memperkemas kerjasama. Rakyat masih menaruh harapan kepada kita. Justeru, kita perlu bermuhasabah, membaiki kelemahan dan kekurangan, jika benar-benar mahu PN terus diberi kepercayaan dalam PRU akan datang.
Hentikan kenyataan yang mengguris perasaan rakan muafakat. Jangan menikam belakang kawan sendiri, apatah lagi berbangga menjatuhkan rakan gabungan. Hormatilah keputusan parti-parti rakan, dan bersedia menerima teguran serta pandangan dengan lapang dada.
Ada pihak yang tulisannya baik dan membantu memperkukuh jemaah , itu penting bagi menjelaskan kekeliruan serta mendokong keputusan parti. Namun, ada juga pihak yang lebih baik berhenti menulis jika ia hanya berterusan mengelirukan ahli. Maka, tepuk dada tanya selera: di manakah posisi yang wajar kita ambil demi muafakat ini?

0 Comments