Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menjangkakan proses tuntutan hak negeri ini ke atas Pulau Pinang dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bergantung kepada kesiapsiagaan prosedur dan pertimbangan undang-undang yang sedang diteliti secara menyeluruh.
Menurut beliau, pasukan yang dilantik oleh kerajaan negeri kini berada dalam keadaan siap siaga, namun beberapa aspek teknikal termasuk sudut perundangan serta relif yang akan diambil masih diperhalusi sebelum sebarang tindakan lanjut dimulakan.
“Saya jangka tahun ini, InsyaALLAH. Pasukan kita sedang bekerja setiap hari. Mereka sudah bersedia cuma proses untuk ke peringkat undang-undang melibatkan banyak perkara teknikal termasuk relif yang perlu dipilih dengan tepat. Itu yang sedang dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat 2026 sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah, di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Syed Khairol Anwar Syed Abidin.
Menurut Sanusi, kerajaan negeri mengambil pendekatan berhati-hati dengan memenuhi semua prosedur secara teratur, meskipun proses tersebut memerlukan masa yang panjang.
“Saya bukan hendak cari gaduh, tetapi mahu buat perkara ini dengan teratur. Sebab itu kajian dijalankan bertahun-tahun, dokumen dihimpunkan, pasukan penganalisis dilantik termasuk pihak berautoriti dalam undang-undang untuk tentukan langkah paling sesuai,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya proses tersebut tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, ia tetap diteruskan selewat-lewatnya tahun depan.
Dalam ucapannya sebelum itu, Sanusi mengajak seluruh warga Kedah untuk mendukung usaha kerajaan negeri menuntut hak yang dinafikan sejak sekian lama, meskipun berdepan pelbagai kritikan dan halangan, termasuk dakwaan kononnya usaha tersebut bercanggah dengan Perlembagaan.
“Kerajaan Negeri tekad memperbetulkan semula fakta sejarah yang dipesongkan dan ‘dijulingkan’.
“Walaupun usaha ini mungkin tidak berhasil dalam tempoh tuan-tuan masih bergelar penjawat awam, sekurang-kurangnya kita telah berusaha perbetulkan keadaan dan tidak membiarkan generasi akan datang terus tersesat dalam naratif palsu penjajah.
“Selagi saya memimpin Kerajaan Negeri, saya akan berjuang habis-habisan untuk kembalikan semula hak kedaulatan Kesultanan Kedah ke atas Pulau Pinang,” katanya.
Sanusi turut berkongsi sejarah hubungan Kedah dan Pulau Pinang dalam mempertahankan asas tuntutan tersebut, dengan menyatakan Pulau Pinang termasuk Seberang Perai merupakan wilayah hak milik Kesultanan Kedah yang diduduki secara haram melalui penipuan oleh penjajah bermula 9 Ogos 1786, sebelum Francis Light mengibarkan bendera Union Jack pada 11 Ogos 1786.
“Ini satu jenayah. Pada 12 April 1791, Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah berusaha mendapatkan kembali Pulau Pinang namun tewas.
“Pada 7 Julai 1800, Sultan Kedah, Sultan Dhiauddin terpaksa menandatangani perjanjian menyerahkan sebahagian Seberang Perai kepada British, diberikan nama baharu, Province Wellesley.
“Penyerahan Seberang Perai seluas 60 relung, kemudian ditambah sehingga keluasan 751 kilometer persegi, bersamaan 261,000 relung atau 75,100 hektar,” jelas beliau.
Sanusi berkata, nilai pajakan Pulau Pinang dipersetujui Sultan Abdullah Mukarram Shah adalah sebanyak 6,000 Spanish Dollar namun tidak dibayar oleh Francis Light, menyebabkan perang pada tahun 1791.
“Apabila dapat Seberang Perai, nilai pajakan ditambah 4,000 Spanish Dollar menjadikan jumlah 10,000 Spanish Dollar.
“Selepas merdeka, pajakan diubah menjadi RM10,000. Bermula tahun 2018, ditambah RM10 juta menjadikan pajakan hari ini RM10,010,000,” jelasnya.
Menurut beliau, usaha Sultan Kedah untuk mendapatkan kembali Pulau Pinang pada 1791 serta tuntutan Sultan Badlishah pada 1956 membuktikan Sultan Kedah berusaha mendapatkan kembali hak baginda ke atas tanah tersebut.
“Dimaklumkan perkara itu diuruskan selepas merdeka, malangnya selepas negara capai kemerdekaan, perkara itu terus didiamkan,” katanya.
Sebelum ini, Sanusi memaklumkan kerajaan negeri berada di fasa akhir memuktamadkan proses perundangan oleh pasukan guaman bagi menganalisis undang-undang serta menyediakan dokumen termasuk relif berkaitan isu pajakan Pulau Pinang, susulan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah agar perkara itu diperjelaskan secara telus.
Pada 2021, Kedah menuntut bayaran pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati nilai pajakan itu tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

0 Comments