PELETAKAN JAWATAN MUHYIDDIN BELUM SAH, PERLU DIPUTUSKAN MAJLIS TERTINGGI PN- SANUSI

 


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) belum sah secara rasmi kerana ia perlu dibuat dan diterima dalam mesyuarat gabungan itu selaras dengan perlembagaan PN.

Pengerusi PN Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun Presiden BERSATU itu telah mengumumkan dan menghantar surat peletakan jawatan, proses rasmi masih belum dimuktamadkan.

“Berdasarkan perlembagaan PN, peletakan jawatan mesti dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Apabila mesyuarat terima, barulah sah. Jika mesyuarat buat keputusan sebaliknya, maka individu itu kekal walaupun sudah umum satu dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat 2026 sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah, di sini hari ini.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, semua pihak tidak perlu membuat spekulasi mengenai siapa yang bakal memegang jawatan pengerusi selagi peletakan jawatan itu belum disahkan secara rasmi.

“Kita tak perlu kata orang ini jadi (pengerusi), orang itu yang jadi. Jawatan itu belum kosong secara sah kerana peletakan jawatan belum diterima dalam mesyuarat,” jelasnya.

Mengulas kemungkinan kesan terhadap PN sekiranya Muhyiddin kembali memegang jawatan tersebut, Sanusi mengakui perkara itu akan memberi impak besar dan boleh dilihat sebagai situasi ‘flip-flop’.

“Kalau dia sudah tekad lepaskan jawatan, biasanya mesyuarat tak kan menolak. Tapi itu semua bergantung kepada keputusan mesyuarat,” katanya.

Tambah Menteri Besar Kedah itu, mesyuarat Majlis Tertinggi PN dijangka diadakan dalam tempoh kurang seminggu.

Ditanya sama ada jawatan Pengerusi PN perlu disandang oleh wakil PAS, Sanusi berkata, beliau sebelum ini ada mengemukakan cadangan, namun ia belum tentu diterima.

“Saya dah cadang sebelum ini (Ahmad Samsuri), tapi belum tentu cadangan itu diterima,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas spekulasi berhubung penularan gambar pertemuan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Muhyiddin yang dikaitkan dengan jawatan Pengerusi PN, namun tidak mengesahkan sebarang kaitan.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN selepas lima tahun menerajui gabungan itu, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Susulan pengumuman itu, pelbagai spekulasi timbul mengenai calon yang bakal menerajui PN, antaranya Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Ahmad Samsuri termasuk Sanusi yang disebut-sebut calon paling layak. 

Post a Comment

0 Comments