Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Penjawat awam di negeri ini perlu setia kepada kebenaran dan prinsip, bukan kepada individu dalam melaksanakan amanah pentadbiran demi kepentingan rakyat dan negeri.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesetiaan yang dituntut berpaksikan kebenaran, keadilan dan keimanan, bukan bersifat peribadi kerana jawatan kepimpinan boleh datang dan pergi mengikut ketentuan ALLAH SWT.
“Saya tidak minta penjawat awam Kedah setia kepada saya atas dasar peribadi. Apa yang saya minta, teruslah setia pada kebenaran dan ikhlas mempertahankan prinsip walau dalam apa jua keadaan.
“Andai kata didapati saya menyeleweng daripada kebenaran, tinggalkanlah saya seorang diri. Saya rela dan tidak akan menyalahkan tuan-tuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat 2026 sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah, di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Syed Khairol Anwar Syed Abidin.
Sanusi turut mengajak penjawat awam meneladani ciri-ciri Al-Hawariyun, iaitu golongan yang ikhlas membantu pemimpin demi kebenaran, sanggup berkorban, tidak gentar menghadapi tekanan serta setia pada amanah tanpa mementingkan diri atau mengejar kedudukan.
“Terapkan ciri-ciri Al-Hawariyun, mereka sentiasa mendahulukan kebenaran. Mereka tidak mengejar kuasa atau pengaruh tetapi tegar menyampaikan ajaran Nabi Isa dengan integriti ilmu dan moral. Sokongan mereka kepada Nabi Isa bukan membuta tuli tetapi berpaksikan kebenaran Injil yang dibawa baginda dengan tegas walaupun ditekan dan diancam.
“Inilah contoh yang perlu kita teladani dalam mempertahankan hak, kebenaran, keadilan dan keimanan sebagaimana prinsip moral yang diajar dalam agama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan penjawat awam Kedah agar bekerjasama dengan kepimpinan Kerajaan Negeri dan tidak menjadi seperti “enau di tengah belukar, melepas pucuk masing-masing”.
“Jangan ikut arahan daripada pihak luar kerajaan walaupun mempunyai hubungan baik. Sebagai pelaksana, penjawat awam perlu bersama dengan pemimpin Kerajaan Negeri.
“Amatlah tidak harmoni jika kita bekerja dalam keadaan tidak sehaluan, masing-masing ada kepentingan. Bekerja tanpa kesepaduan hanya akan wujudkan ketidakharmonian dan menjejaskan pentadbiran negeri,” katanya.
Sanusi tegaskan, tumpuan harus diberikan kepada gagasan pembangunan negeri sama ada jangka pendek atau jangka panjang, seperti The Greater Kedah dan Pelan Pembangunan Kedah 2035, selain slogan teras, iaitu ‘Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua’ serta ‘Kedah Negeri Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’.
“Tanggungjawab setiap penjawat awam ialah menghayati visi dan misi Kerajaan Negeri serta melaksanakannya dengan hati yang bersih, memenuhi tanggungjawab kepada ALLAH SWT dan sesama manusia,” katanya.

0 Comments