'POLITIK SIHAT' SELESAIKAN MASALAH RAKYAT, BUKAN CIPTA KETIDAKTENTUAN

 

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Kestabilan politik bergantung kepada keupayaan kepimpinan menjaga kepercayaan rakyat, menghormati proses perlembagaan serta meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti atau individu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO, Wong Chia Zhen berkata, politik yang sihat ialah politik yang berupaya menyelesaikan masalah rakyat, bukannya mencipta ketidaktentuan yang boleh menjejaskan kesejahteraan negeri mahupun negara.

“Kestabilan politik atau negeri bukan sekadar soal angka atau jawatan. Dalam landskap politik yang semakin mencabar, kematangan amat penting. 

“Kestabilan sebenar lahir daripada kepimpinan yang berprinsip, bertanggungjawab dan berani mempertahankan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan sempena Tahun Baharu 2026.

Beliau yang merupakan Pengerusi GERAKAN Kedah berharap, tahun 2026 membawa lebih banyak kestabilan, kemajuan dan harapan baharu khususnya untuk Kedah dan Malaysia. 

“Kita perlu melangkah ke hadapan dengan tekad, rasional dan keyakinan. Semoga negeri ini terus sejahtera,” katanya.

Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Chia Zhen menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat dengan berteraskan prinsip, menyuarakan pendirian secara bertanggungjawab serta memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan negeri berpaksikan kesejahteraan rakyat.

“Pengalaman sepanjang tahun lalu membuktikan kemajuan tidak datang dengan mudah, sebaliknya menuntut kerja keras, kejujuran dalam kepimpinan dan kesediaan mendengar suara rakyat, khususnya berkaitan ekonomi, kos sara hidup, kebajikan masyarakat serta pembangunan negeri yang mampan,” jelas beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim itu turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Kedah atas kepercayaan, kesabaran dan sokongan yang diberikan sepanjang tahun yang penuh cabaran, dan berharap negeri ini terus berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

Post a Comment

0 Comments