Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Polis Daerah Kota Setar mengesahkan kejadian tular yang didakwa sebagai kes pukul dan rompakan bukan berlaku di Masjid Kuala Kedah, seperti yang tersebar menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, hasil semakan dan penelitian lanjut mendapati tiada laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut di mana-mana lokasi dalam daerah Kota Setar, termasuk di kawasan Masjid Kuala Kedah.
Menurutnya, siasatan dilakukan susulan pihak polis mengesan satu video tular di laman sosial Facebook bertajuk ‘kes rompakan di masjid kola kedah’ yang dimuat naik oleh pemilik akaun info terkini 2026.
“Video berdurasi kira-kira 20 saat itu memaparkan seorang lelaki dipukul oleh beberapa individu dan didakwa berlaku di Masjid Kuala Kedah, namun siasatan mendapati kejadian tersebut tidak berlaku di daerah Kota Setar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Syed Basri menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau menularkan kandungan yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Perbuatan tersebut boleh jejaskan ketenteraman awam serta mencetuskan kebimbangan orang ramai.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara, kita akan ambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan orang ramai,” katanya.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian sebenar dalam video berkenaan supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar atau menghubungi balai polis berhampiran, melalui talian hotline 04-774 7222.

0 Comments