Satu lagi kejayaan negeri Kedah apabila berjaya merealisasikan Majlis Pecah Tanah Novolyte Technology Sdn. Bhd. di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
Ini menandakan bermulanya satu lagi pelaburan strategik berteknologi tinggi di negeri Kedah. Novolyte merupakan pemain global dalam industri bahan bateri dan elektrolit, dengan sokongan kukuh Capchem Group serta memiliki operasi antarabangsa di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.
Projek ini melibatkan pembangunan kilang bahan elektronik di atas tanah seluas 10.195 ekar di KHTP dengan jumlah pelaburan direkodkan RM 264 juta bagi fasa awal pembangunan fasiliti pembuatan syarikat di Kulim.
Pelaburan ini akan mengukuhkan kedudukan Kedah dalam rantaian bekalan global industri bateri dan bahan kimia elektronik, dan selari dengan strategi pembangunan negeri yang menumpukan kepada pembuatan bernilai tinggi, industri berintensif teknologi dan sektor mampan masa hadapan.
Kerajaan Negeri Kedah akan terus menyokong pelabur melalui pendekatan pro-bisnes dan kemudahan “ease of doing business” demi memastikan projek berjalan lancar serta memberi limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Kerajaan Negeri komited memastikan setiap pelaburan ke Kedah bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi turut membawa pembangunan bakat, pemindahan teknologi dan kesejahteraan jangka panjang untuk rakyat negeri ini.
Kemasukan Novolyte ke Kedah menjadi satu lagi bukti bahawa negeri ini semakin diyakini sebagai hab industri berteknologi tinggi di peringkat serantau dan global.

0 Comments