Oleh: Muhamad Mat Yakim

Dalam isu Perlis, ada orang lihat PAS sebagai pecundang (loser) kerana hilang jawatan Menteri Besar.

Bagi saya tidak. 

Walaupun mungkin ada banyak faktor yang boleh dikaitkan sebagai punca krisis, yang saya percaya akan lebih kuat mempengaruhi sentimen rakyat adalah hal tuntutan projek yang bernilai ratusan juta.

Benar atau tidak, itu perkara lain namun saya yakin sebahagian besar akan terima pendedahan itu sebagai benar.

Setidak-tidaknya YB Cikgu Shukri telah digambarkan sebagai seorang yang tegas menolak dan teguh mempertahankan kepentingan rakyat dan negeri walaupun mengikut pendedahan itu,  yang 3 kali bertemu dengan beliau bukan sembarangan indvidu. 

Walaupun YB Cikgu Shukri hilang jawatan, dan PAS dilihat oleh sesetengah orang sebagai pecundang, sebahagian besar rakyat Perlis diyakini masih sedia beri kepercayaan kepada parti itu pada PRU-16.

PAS juga telah menunjukkan tahap integriti yang luar biasa apabila sanggup hilang 3 Adun daripada kalangan pimpinan kanan parti di peringkat negeri sebelum ini.

Dari satu sisi, ya PAS mungkin ‘loser’ tetapi dalam jangka panjang, PAS sedang menunjukkan satu kelas kualiti yang tidak ada pada parti lain. 

Pada hemat saya, tekanan seharusnya lebih dirasai oleh YAB Bakar Hamzah, Menteri Besar baru. Jika benar pendedahan yang disebar, adakah permintaan yang sebelum ini ditolak oleh Cikgu Shukri, akan ditolak juga oleh YAB Abu Bakar? 

Semua ini akan terjawab oleh masa, dan semua pihak — bukan rakyat Perlis sahaja — ternanti-nanti untuk melihat bagaimana YAB Abu Bakar akan tangani hal ini.

YAB Abu Bakar Hamzah bukanlah tokoh popular dalam politik Perlis sebelum ini. Majoriti undi diperoleh dalam pilihan raya lalu juga sangat tipis. Beliau perlu ‘berjuang’ untuk memastikan dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas PRU16. 

Pada batang tubuh YB Cikgu Shukri sendiri, walau apa jua cerita yang berlegar di sekelilingnya, semua orang tahu beliau seorang yang baik. Tutur katanya tertib. Begitu juga wajah dan tingkah lakunya. Semua ini akan mempengaruhi sentimen rakyat untuk bersimpati terhadapnya. 

Di seluruh Perlis, serata billboard memaparkan wajahnya kilik Al Quran dengan pesanan “Jom Baca Al Quran” atau “Jom Solat”.  Kita tunggu wajah YAB Abu Bakar mengganti wajah YB Cikgu Shukri dengan ajakan yang sama. 

Identiti Perlis Darul Sunnah perlu disegarkan. 

Manusia datang dan pergi. Masalah juga datang dan pergi. Apa yang sedang dilalui ialah proses membina kematangan.

Dalam proses ini, apa yang paling penting ialah prinsip dan dasar serta serta nilai nilai yang akan menentukan halatuju parti. 

Walaupun mungkin ada yang simpati, biarkan YB Cikgu Shukri berehat. 

PAS Perlis perlu tonjolkan satu calon muka baharu — tokoh muda — yang meyakinkan untuk hadapi pilihan raya akan datang. 

Pesuruhjaya Ustaz Ahmad Ali perlu diberi ruang sepenuhnya untuk lead the team. Jangan ada kacau ganggu dan jangan ada sesiapa berasa lebih bijak hingga melanggar ketertiban berjemaah. 

Selamat maju jaya sahabat sahabat PAS Perlis.

Let bygone be bygone.

Biduk lalu kiambang bertaut.


Post a Comment

0 Comments