ENAM BERANAK TINGGAL DALAM BAS USANG BAKAL PINDAH KE RUMAH SEWA

 

Oleh: Ahmad Rado


KUPANG - Sebuah keluarga yang menjadikan sebuah bas usang sebagai tempat tinggal sejak lebih setahun lalu dan menjalani kehidupan serba daif di Tawar, dekat sini, bakal menarik nafas lega apabila akan berpindah ke sebuah rumah sewa dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigedier Jeneral (B) Dato’ Haji Najmi Ahmad berkata, hasil keprihatinan Kerajaan Negeri Kedah, keluarga berkenaan akan menetap di sebuah rumah sewa di Kuala Pegang yang lebih selesa dan selamat untuk didiami.

Menurutnya, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) daerah Baling turut bersetuju menambah kadar bantuan bulanan kepada keluarga Mohd Fadzil Hussain, 47, termasuk menanggung kos sewaan rumah bagi memastikan kelangsungan hidup keluarga itu lebih terjamin.

“Walaupun bantuan zakat telah disalurkan sebelum ini, lokasi kediaman keluarga tersebut yang terpencil menyebabkan keadaan sebenar mereka yang tinggal di dalam bas tidak diketahui umum,” katanya ketika ditemui Media Penerangan PAS Kupang, hari ini.

Terdahulu, Najmi yang mewakili Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama Penghulu Mukim Tawar, Mohamad Hasnunrisam Md Yaden mengadakan lawatan ke rumah sewa yang bakal didiami keluarga berkenaan di Kuala Pegang.

Beliau berkata, usaha bersepadu itu melibatkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang, LZNK daerah Baling, Pejabat Daerah Baling, Majlis Ketua Kampung serta Penghulu Mukim membuktikan komitmen berterusan semua pihak dalam menjaga kebajikan golongan memerlukan.

“PKWR DUN Kupang akan terus memainkan peranan membantu dari semasa ke semasa agar keluarga ini mampu keluar daripada kesempitan hidup secara berperingkat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha murni ini demi memastikan tiada rakyat tercicir daripada perhatian.

Pada Rabu, Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA) melaporkan, Mohd Fadzil dan isterinya, Siti Rohimah Hussain, 41, yang mempunyai sembilan orang anak terpaksa tinggal di dalam sebuah bas usang bersama empat anak yang masih bersekolah, berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Anak sulung pasangan itu yang berusia 23 tahun dan bekerja di sebuah kilang pula menyewa sebuah rumah di Kampung Padang bagi menjaga adik-adiknya yang berusia setahun, enam, 19 dan 20 tahun.

Lima daripada anak-anak mereka masih bersekolah di peringkat menengah dan rendah termasuk prasekolah, manakala empat lagi telah tamat persekolahan.

Mohd Fadzil sebelum ini bekerja sebagai buruh namun tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak setahun lalu, manakala isterinya tidak bekerja kerana masalah kesihatan.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"


ARTIKEL BERKAITAN:

https://www.facebook.com/share/p/1G3DMoAiCx/

Post a Comment

0 Comments