Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Ameerah Malaysia mengecam tindakan pihak berkuasa menahan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana disifatkan bercanggah dengan prinsip perlindungan kanak-kanak dan hak asasi manusia.
Ketua Pengarah Ameerah, Dewan Muslimat PAS Malaysia, Mardhiyyah Johari berkata, remaja berkenaan ditahan bersama bapanya dalam satu sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Jitra, dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Menurut beliau, penahanan individu bawah umur 18 tahun di bawah peruntukan Sosma adalah satu tindakan tidak berperikemanusiaan serta wajar dielakkan.
“Pihak berkuasa sepatutnya lebih berhati-hati terutama apabila melibatkan individu di bawah umur 18 tahun, yang mana menurut undang-undang masih dikategorikan sebagai kanak-kanak.
“Undang-undang Malaysia melalui Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jelas meletakkan tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak, perkara ini seharusnya dipatuhi sepenuhnya oleh semua penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mardhiyyah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor jelaskan, Sosma juga didakwa mengandungi begitu banyak kelompangan hak asasi manusia dan tidak wajar dikuatkuasakan terhadap seorang remaja.
Kes tersebut menarik perhatian umum selepas ibu remaja berkenaan merayu agar anaknya dibebaskan susulan penahanan sejak 14 Januari lalu berkaitan siasatan kes penyeludupan migran atau pemerdagangan manusia.
Remaja terbabit ditahan bersama bapanya dan beberapa individu lain dalam kenderaan sama, dipercayai kerana disyaki terlibat dengan aktiviti berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, ibu remaja tersebut mengesahkan anaknya yang merupakan penumpang dalam kenderaan terbabit, telah dibebaskan oleh polis pada 23 Januari.
Mardhiyyah berkata, walaupun remaja perempuan tersebut telah dibebaskan, kejadian berkenaan wajar menjadi iktibar kepada semua pihak dan kerajaan perlu memastikan insiden sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Langkah pencegahan dan penelitian sewajarnya mesti diambil, khususnya apabila melibatkan golongan kanak-kanak agar hak dan kebajikan mereka terus terpelihara,” katanya.

0 Comments