PEMUDA UMNO KEDAH NAIF, GAGAL FAHAMI ASPIRASI PENGUNDI

 

Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) menyifatkan Pemuda UMNO Kedah sebagai naif, jahil dan mentah dalam memahami kehendak serta aspirasi sebenar pengundi di negeri ini, khususnya orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk negeri ini.

Naib Ketua DPPNK, Ku Mukhlis Ku Md Ali berkata, kenyataan Pemuda UMNO Kedah yang mempertikaikan sentimen politik rakyat seolah-olah memperkecilkan kebijaksanaan pengundi yang mampu membuat penilaian politik secara matang.

Menurutnya, secara tidak langsung turut memperkecilkan pemikiran rakyat Kedah yang majoritinya terdiri daripada golongan pertengahan, dengan hampir 78 peratus adalah Melayu. 

“Seolah-olah pengundi di Kedah tidak mampu membuat pertimbangan dan penilaian politik yang matang. Kenyataan seperti itu merupakan satu penghinaan terbuka kepada kira-kira 2.1 juta rakyat Kedah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ku Mukhlis berkata, UMNO sepatutnya sedar bahawa penolakan orang Melayu terhadap parti itu berpunca daripada keputusan mereka bergabung dengan DAP sehingga dikenali rakyat sebagai ‘UMDAP’, selain kegagalan kepimpinan tertinggi mengutamakan perjuangan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

“Keputusan tersebut jelas bercanggah dengan sentimen dan aspirasi pengundi Melayu di Kedah,” ujarnya.

Tambah beliau, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu membuktikan perubahan sokongan pengundi Kedah, khususnya selepas Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, daripada 1.57 juta pengundi berdaftar di Kedah, sebahagian besar pengundi yang sebelum ini menyokong BN dalam PRU telah beralih menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam PRN, susulan keputusan UMNO untuk bersama PH.

“Sebagai contoh, di Parlimen Langkawi, calon BN memperoleh 11,945 undi ketika bertanding secara solo dalam PRU, namun jumlah itu merosot kepada 10,303 undi walaupun digabungkan bersama undi PH.

“Di Padang Terap, Dato' Seri Mahadzir Khalid sendiri ketika bertanding secara solo di kerusi Parlimen, BN memperoleh 17,258 undi, susut kepada 12,239 undi campuran selepas digabungkan undi PH-BN,” katanya.

Ku Mukhlis berkata, trend sama turut berlaku di Pokok Sena apabila gabungan undi PH dan BN yang mencecah 35,047 undi sebelum ini merosot kepada 22,323 undi dalam PRN lepas.

“Data undi di kesemua parlimen menunjukkan trend yang konsisten. Keputusan itu membuktikan rakyat Kedah membuat pilihan secara sedar dan berprinsip, sekali gus menafikan dakwaan bahawa PAS memanipulasi sentimen agama.

“PAS Kedah tidak perlu bersusah payah memujuk pengundi memilih PN kerana rakyat Kedah sendiri muak dengan perangai dan ketamakan pemimpin utama UMNO,” katanya.

Berikutan itu, DPPNK menasihatkan Pemuda UMNO Kedah agar sedar dan insaf, serta kembali kepada perjuangan sebenar yang berpaksikan kepentingan rakyat dan agama, bukannya terperangkap dalam permainan politik sempit.

Ku Mukhlis berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Mohd Safwan Jaafar, berhubung kenyataan ‘exploitasi agama terus cengkam politik Kedah’. 

Pada 21 Januari, Mohd Safwan mendakwa PAS mendominasi politik Kedah dengan memanipulasi sentimen agama.

Antara isu termasuk naratif moral yang bersifat kosong, gagal menyelesaikan masalah rakyat, serta kerangka kerjasama yang lebih menguntungkan pihak lain sehingga meninggalkan UMNO menanggung kos politik.

Katanya lagi, Pemuda UMNO Kedah sebulat suara menyokong keperluan memberi autonomi penuh kepada kepimpinan UMNO Kedah menentukan hala tuju dan strategi politik negeri, dan sebarang kerjasama hanya wajar dipertimbangkan jika ia setara, berprinsip dan menguntungkan rakyat Kedah dan bukan kerana tekanan, angka atau keperluan pihak lain.

Post a Comment

0 Comments