Oleh: Wan Rohimi bin Wan Daud
Pengerusi Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM)
PAS Pusat
1. Pada 14 September 2024, seramai 1,324 perwakilan yang hadir pada Muktamar PAS kali ke-70 di Kompleks Al-Makmur Temerloh, telah secara sebulat suara meluluskan usul pindaan Perlembagaan PAS.
2. Perlembagaan PAS (Pindaan 2025) mula berkuatkuasa pada 8 Ogos 2025 setelah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan bertarikh 20 Ogos 2025.
3. Muktamar PAS Pusat adalah badan kekuasaan tertinggi dalam PAS yang mengatasi Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Dewan-dewan.
4. Antara initipati utama pindaan itu ialah bagi menangani tindakan “lompat parti atau tindakan seumpamanya”dengan memperkenalkan Fasal 15A, iaitu “Keberhentian Ahli Badan Perundangan”.
5. Fasal 15A(1) khususnya para (b) dan (d) yang terpakai kepada 3 mantan Adun adalah sebagaimana berikut:
(1) Setelah seorang ahli dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Dewan Negeri, keahliannya terhenti serta-merta apabila ahli tersebut melakukan mana-mana satu yang berikut:-
(b) menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti; atau
(d) menyatakan pendirian atau melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti.
6. Fasal 15A ini secara harfiah dan/atau maksud perundangannya adalah jelas, nyata dan tiada kesamaran yang memerlukan tafsiran atau huraian semula.
7. Fasal 15A(4) meMUKTAMADkan status keberhentian Ahli Badan Perundangan itu sebagaimana berikut:
“Setelah seorang Ahli melanggar mana-mana satu perkara di Fasal 15(1), Setiausaha Agong hendaklah mengeluarkan satu Notis Keberhentian kepada Ahli tersebut dan memaklumkan keberhentian ahli yang berkenaan kepada PAS Kawasan yang berkaitan dan keputusan adalah MUKTAMAD.
9. NOKTAH. MUKTAMAD. Maksudnya tiada apa-apa rayuan boleh dikemukakan kerana tiada pemecatan dilakukan.
10. Ia tidak sama dengan PEMECATAN dibuat oleh PAS di bawah Fasal 76(9).
11. Ada pun dalam kes 3 mantan Adun PAS Perlis yang berkaitan, ia dibuat berdasarkan PENGAKUAN (admission) oleh 3 mantan Adun sendiri yang telah memberi keterangan kepada pada 21.12.2025 yang MENGAKUI bahawa mereka tandatangan Akuan Sumpah (SD) pada 19.12.2025 untuk menarik sokongan dari mantan MB Cikgu Shukri.
12. PENGAKUAN ini jelas membentuk SOKONGAN kepada mana-mana pihak lain yang bertentangan dengan arahan atau pendirian PAS (Fasal 15A(b)).
13. PENGAKUAN ini juga terjumlah kpd menyatakan pendirian atau melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan PAS (Fasal 15A(d).
14. Justeru dengan PENGAKUAN 3 mantan Adun itu sendiri - telah lengkap applikasi Fasal Keberhentian Ahli Badan Perundangan PAS melalui Fasal 15A(1)(b) dan (d) tanpa perlu dimulakan prosiding tatatertib.
15. Untuk lebih jelas lagi (walau pun bersifat pengulangan) penelitian kepada Fasal 15A (Keberhentian Ahli Badan Perundangan) - jelas sekali dinyatakan “Setelah seorang ahli (maksudnya ahli PAS) yang telah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri, keahliannya (maksudnya keahlian parti PAS) terhenti serta-merta apabila ahli itu melakukan mana-mana satu dari 4 situasi yang diperuntukkan”.
16. Makanya ada 2 bentuk Keberhentian Ahli mengikut Perlembagaan PAS:
(a) Ahli PAS biasa - Fasal 15
(b) Ahli PAS yang dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri - Fasal 15A.
18. Pokoknya 3 mantan Adun tidak diPECAT. Tiada PEMECATAN dibuat melalui Fasal 79(9).
19. Kenapa Perlembagaan PAS menyediakan peruntukan berbeza bagi PEMECATAN (yang memerlukan prosiding tatatertib dan ada hak merayu) dengan KEBERHENTIAN (yang bersifat muktamad dan tiada hak rayuan)?
20. Sebabnya mudah - tatatertib melibatkan dakwaan/aduan pihak ketiga. KEBERHENTIAN disebabkan angkara sendiri.
21. Apa yang diputuskan secara sebulat suarat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 24.12.2025 adalah membuat KETETAPAN di bawah Fasal 15A(1)(b) dan (d) berdasarkan PENGAKUAN 3 mantan Adun tersebut bagi menjatuhkan Kerajaan yang dibina oleh PAS.
22. Justeru apa remedi kepada 3 mantan Adun itu jika mereka masih sayangkan PAS?
23. Mudah saja - isi borang PAS, mohon untuk menjadi ahli semula, samada melalui Cawangan ataupun daftar terus dengan Pejabat Agung; dan terserah kepada pertimbangan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menerima kemasukan semula sebagai ahli biasa.
24. Tetapi tentulah ada iddah dan syarat-syarat taubat yang perlu - kerana tindakan dan kegelojohan anda telah meruntuhkan sebuah Kerajaan yang kita bina bersama dengan tangis dan pengorbanan puluhan tahun yang bukan sedikit.
25. Perlu juga diingatkan bahawa jika pun ingin kembali kepada PAS melalui “pintu rayuan”, jangan dilibatkan “Hakim Rayuan” dengan peranan agresif seorang “Peguam”, sehingga dilihat sebagai sangat partisan dan memihak (bias) - sehingga dikhuatiri boleh menggugurkan kelayakan menjadi “Hakim Rayuan” yang adil berasaskan undang-undang, apatah lagi keadilan Islam.
Wan Rohimi bin Wan Daud
Pengerusi,
Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM)
PAS Pusat
24 Januari 2026 | 5 Syaaban 1447H

0 Comments