GAJI NAIK UNTUK SEBAHAGIAN, KOS HIDUP NAIK UNTUK SEMUA


 Oleh: Abdul Razak Khamis 

Timbalan Speaker DUN Kedah


Mulai bulan ini, kakitangan awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan mula mendapat manfaat daripada Pelarasan Gaji Fasa 2 SSPA. Maknanya, mereka akan menerima kenaikan gaji berdasarkan kadar yang telah diselaras. Tahniah kepada mereka dan terima kasih kepada kerajaan. Benda baik kita puji.

Namun, ada persoalan besar yang kerajaan perlu jawab: bagaimana pula dengan nasib majoriti rakyat Malaysia yang bukan penjawat awam?

Kita tidak menafikan bahawa kenaikan gaji penjawat awam itu wajar. Malah, ia sudah lama tertangguh. Penjawat awam juga, sama ada yang memilih SSPA atau tidak, turut terkesan dengan inflasi, kenaikan harga makanan, sewa rumah, kos pendidikan anak-anak dan pelbagai tekanan hidup lain. Jadi langkah menaikkan gaji mereka memang patut dan perlu.

Namun dalam masa yang sama, kerajaan tidak boleh menutup mata terhadap hakikat bahawa peratus tenaga kerja negara yang berada di sektor swasta, bekerja sendiri, gig economy, petani, nelayan dan peniaga kecil adalah jauh lebih besar daripada mereka yang berada dalam perkhidmatan awam. Golongan inilah yang sebenarnya paling terdedah kepada tekanan kos sara hidup, tetapi paling kurang dilindungi.

Masalah kos sara hidup hari ini bukan isu kecil atau sementara. Ia sudah menjadi masalah struktur. Harga barang keperluan asas seperti beras, ayam, daging, sayur-sayuran dan makanan diproses terus tidak menentu. Banyak berlaku keadaan turun sekupang, naik dua kupang; turun dua kali, naik tiga kali dan seumpamanya.

Pada masa yang sama, kos perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan perumahan juga semakin mahal. Dalam keadaan ini, kenaikan gaji hanya kepada satu segmen masyarakat, walaupun besar bilangannya, tetap tidak menyelesaikan masalah secara keseluruhan.

Di sektor swasta pula, kenaikan gaji bukan sesuatu yang automatik. Banyak syarikat kecil dan sederhana masih bergelut dengan kos operasi yang meningkat. Ada majikan yang bukan sahaja tidak mampu membayar gaji pekerja, malah diri sendiri pun tidak bergaji. Tidak kurang juga yang memilih untuk mengecilkan tenaga kerja.

Akibatnya, pekerja swasta terperangkap dalam keadaan gaji statik, harga barang naik, dan bantuan pula bersifat sementara. Golongan bekerja sendiri dan gig economy lebih teruk keadaannya, pendapatan tidak menentu, tiada perlindungan sosial yang kukuh, dan terdedah sepenuhnya kepada turun naik ekonomi.

Maka persoalannya, apakah pelan jangka sederhana dan panjang kerajaan untuk memastikan kenaikan pendapatan rakyat secara menyeluruh, bukan hanya terhad kepada penjawat awam? Adakah kerajaan mempunyai strategi jelas untuk menggalakkan sektor swasta menaikkan gaji secara mampan tanpa mematikan perniagaan?

Atau adakah kita hanya bergantung kepada bantuan tunai berkala yang akhirnya habis, sedangkan harga barang seolah-olah tidak menemui jalan untuk turun?

Isu subsidi juga perlu dibincangkan dengan lebih jujur. Rasionalisasi subsidi sering dijadikan alasan untuk menjimatkan kewangan negara, tetapi kesannya kepada rakyat bawahan dan kelas pertengahan amat besar. Apabila subsidi dikurangkan atau disasarkan semula, harga barang dan perkhidmatan akan naik.

Jika pada masa yang sama gaji majoriti rakyat tidak meningkat, maka beban itu akhirnya dipikul oleh mereka yang paling lemah. Kerajaan perlu menjelaskan dengan telus bagaimana penjimatan subsidi diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar angka fiskal di atas kertas.

Inflasi pula bukan sekadar angka statistik. Ia adalah realiti harian rakyat. Apabila kerajaan menyatakan inflasi terkawal, rakyat bertanya: terkawal untuk siapa? Di pasar, di kedai runcit, di gerai makanan, harga tetap naik. Di bandar besar, sewa rumah semakin tidak munasabah. Di luar bandar, kos input pertanian meningkat, tetapi harga hasil tidak seimbang.

Semua ini menunjukkan bahawa dasar menangani inflasi masih belum benar-benar menyentuh akar masalah.

Dalam apa keadaan sekalipun, kenaikan gaji penjawat awam tidak boleh menjadi penutup kepada kegagalan menangani kos sara hidup secara menyeluruh. Kerajaan perlu tampil dengan dasar yang lebih berani dan inklusif, reformasi gaji minimum yang lebih realistik, insentif kepada majikan untuk menaikkan gaji, kawalan harga yang lebih berkesan, pengukuhan jaringan keselamatan sosial, serta dasar perumahan dan makanan yang benar-benar mengurangkan tekanan hidup rakyat.

Kita puji apabila kerajaan melakukan perkara yang betul. Namun sebagai pembangkang, peranan kami adalah memastikan kebaikan itu tidak bersifat terpilih. Dalam isu kos sara hidup dan inflasi, keadilan sebenar hanya wujud apabila setiap rakyat bukan hanya penjawat awam merasai kelegaan yang sama.

Post a Comment

0 Comments