Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) ketika ini memerlukan seorang ‘field general’ atau jeneral lapangan untuk mengetuai PN meneruskan momentum dan menggerakkan jentera pilihan raya gabungan itu secara agresif.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memenuhi kriteria tersebut selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
“Ranking Sanusi tinggi bukan kerana hierarki tradisional parti, tetapi kerana rekod cemerlang pilihan raya. Saya percaya PN akan memilih calon berdasarkan momentum lapangan berbanding simbol rohani semata-mata,” katanya.
Ahmad Zaharuddin berkata, walaupun Sanusi bukan daripada kalangan ulama tradisional, kejayaannya sebagai pengarah pilihan raya PAS mengukuhkan Kedah sebagai kubu kuat parti telah meletakkan beliau pada kedudukan tinggi dari segi keupayaan praktikal dalam parti.
“Dalam politik PAS, itu memberikan beliau ranking tinggi dari segi keupayaan praktikal, walaupun bukan dalam hierarki ulama,” katanya.
Tambah beliau, sokongan terbuka Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya turut membawa signifikan besar kerana ia memberi ‘lesen rohani’ kepada Sanusi, sesuatu yang jarang diberikan kepada tokoh bukan ulama dalam PAS.
“Ia adalah isyarat jelas bahawa Sanusi boleh diterima dalam kerangka kepimpinan nasional PAS. Walaupun Sanusi bukan ulama, sokongan ini menunjukkan beliau sudah menembusi lapisan legitimasi ulama.
“Ini menjadikan beliau bukan sekadar teknokrat pilihan raya, tetapi calon yang boleh diterima sebagai wajah nasional PAS,” katanya.
Ahmad Zaharuddin berkata, PN memerlukan tokoh yang berperanan sebagai peraih undi selepas pengunduran Muhyiddin, dan Sanusi dilihat sesuai untuk tujuan mobilisasi nasional, khususnya dalam menarik sokongan pengundi muda.
“PN perlukan tokoh yang boleh menggerakkan jentera pilihan raya. Sanusi pemimpin yang agresif, sesuai dengan keperluan PN untuk survival.
“Namun, tidak dinafikan gaya politik Sanusi yang konfrontasi dan retorik tajam berpotensi menjadi risiko dalam hubungan antara komponen PN, namun sokongan ulama PAS memberi jaminan beliau bukan bertindak bersendirian.
“PN juga perlukan wajah yang boleh bercakap bahasa anak muda. Sanusi lebih dekat dengan gaya itu berbanding tokoh ulama senior,” jelas beliau.
Mengulas kemampuan tokoh lain sebagai Pengerusi PN, Ahmad Zaharuddin berkata, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang lebih wajar dikekalkan sebagai simbol rohani dan ideologi parti, manakala Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin wajar menstabilkan krisis dalaman parti terlebih dahulu.
“Jika Abdul Hadi menjadi Pengerusi PN, ia akan dilihat sebagai dominasi PAS, menimbulkan ketidakseimbangan dengan BERSATU.
“BERSATU sedang bergelut dengan imej kepimpinan. Menawarkan kerusi Pengerusi PN kepada PAS (melalui Sanusi) adalah strategi sebenar politik, dan membolehkan BERSATU fokus stabilkan dalaman, PAS pula fokus pada mobilisasi nasional,” katanya.
Menurut beliau, kepimpinan PAS dalam PN memperlihatkan pembahagian peranan yang jelas, dengan Abdul Hadi dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melambangkan keseimbangan parti, manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan lebih menyerlah dalam aspek pentadbiran dan undang-undang.
“Samsuri berimej teknokrat, tenang dan pentadbir yang baik, tetapi kurang karisma ‘street fighter’ yang diperlukan sebagai Pengerusi PN dalam suasana politik penuh konflik.
“Takiyuddin mahir dari segi undang-undang dan rundingan, namun tidak mempunyai daya tarikan yang diperlukan untuk jawatan Pengerusi PN yang memerlukan figura yang boleh menjadi ‘poster boy’ pilihan raya,” jelasnya.

0 Comments