Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pencapaian kutipan hasil negeri sebanyak RM816 juta dengan surplus sebanyak RM48 juta sepanjang tahun 2025, bukan sekadar angka.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK), Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid berkata, sebaliknya ia menjadi petunjuk jelas keupayaan pentadbiran negeri dalam mengimbangi keperluan pembangunan, kebajikan rakyat dan kestabilan kewangan dalam suasana ekonomi nasional serta global yang mencabar.
Menurut beliau, pencapaian itu juga mencerminkan kecekapan pengurusan, disiplin fiskal yang tinggi serta perancangan strategik tersusun di bawah kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan seluruh penjawat awam negeri.
“DPPNK merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Menteri Besar Kedah, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta seluruh pegawai dan penjawat awam negeri atas pencapaian kewangan negeri yang membanggakan itu.
“Pencapaian ini menggambarkan hasil kepimpinan berprinsip, pengurusan berintegriti serta iltizam politik yang kukuh untuk mentadbir negeri berteraskan ketelusan, akauntabiliti dan nilai-nilai Islam,” katanya.
Tambah beliau, lebihan fiskal yang dicatatkan membuka ruang lebih luas kepada Kerajaan Negeri untuk memperkasakan agenda pembangunan rakyat, khususnya dalam aspek kebajikan golongan rentan, pengukuhan ekonomi negeri, peluasan peluang pekerjaan belia, pembangunan luar bandar serta pelaburan strategik jangka panjang.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar di peringkat nasional mahupun global, pencapaian ini membuktikan Kedah mampu berdiri teguh dengan dasar berhemat dan keutamaan yang jelas,” katanya.
Ku Abd Muhyi berkata, pencapaian itu juga membuktikan kecekapan tadbir urus mampu menghasilkan manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“DPPNK menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk mengekalkan momentum kecemerlangan tersebut di samping memperkukuhkan reformasi pentadbiran dan pengurusan kewangan agar Kedah terus melakar kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar seluruh kepimpinan dan penjawat awam negeri terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan serta keikhlasan dalam memikul amanah demi menjadikan Kedah sebuah negeri yang makmur, sejahtera dan diberkati.
Pada Rabu, Sanusi mengumumkan Kerajaan Negeri Kedah mencatatkan rekod kutipan hasil tertinggi dalam tempoh 25 tahun dengan nilai RM816 juta, melepasi sasaran ditetapkan pada kadar 103 peratus dan mengatasi sasaran RM790 juta.
Menurutnya, kutipan hasil negeri menunjukkan trend peningkatan konsisten daripada RM629 juta pada 2023, meningkat kepada RM769 juta pada 2024, sebelum mencapai RM816 juta pada 2025, selain merekodkan lebihan atau surplus RM48 juta hasil perbandingan antara kutipan dan perbelanjaan.

0 Comments