KE MANA PRINSIP DAP DAN AMANAH DALAM ISU 47 KES?

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Dewan Pemuda PAS Kedah mempersoalkan pendirian DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang tidak meneruskan tindakan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan 47 pertuduhan, walaupun beliau sebelum ini didapati mempunyai kes prima facie oleh mahkamah.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kedah, Ahmad Hamadah Mohamad Shauki berkata, keputusan kerajaan menarik balik pendakwaan dan kemudiannya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri, disifatkan sebagai satu tindakan menyalahguna kuasa selain mencetuskan persoalan terhadap kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, DAP yang sering melaungkan prinsip integriti, penentangan terhadap salah guna kuasa serta mempertahankan kedaulatan undang-undang, dilihat gagal mengambil pendirian tegas apabila berdepan isu salah guna kuasa melibatkan kerajaan sendiri.

“Campur tangan dalam proses keadilan, sama ada secara langsung atau tidak, akan mencemarkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara. Namun sehingga kini, DAP dan AMANAH memilih untuk berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Hamadah berkata, sikap membisu kedua-dua parti tersebut memperlihatkan hipokrasi politik apabila prinsip yang sering diperjuangkan hanya ditegakkan ketika menguntungkan, tetapi dikompromi apabila melibatkan kuasa dan kepentingan politik.

“Dalam situasi seperti ini, DAP dan AMANAH yang menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan sepatutnya tampil berani menyuarakan bantahan secara terbuka dan berprinsip, menuntut penjelasan telus daripada pihak berkuasa serta memastikan proses kehakiman dihormati tanpa sebarang campur tangan politik.

“Mereka tidak wajar ‘bersembunyi’ di sebalik alasan ia keputusan jabatan kerajaan,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, sikap membisu kedua-dua parti komponen Kerajaan Perpaduan itu menjadikan DAP dan AMANAH bersubahat secara moral terhadap salah guna kuasa. 

“Parti yang benar-benar menjunjung kedaulatan undang-undang wajib mempertahankan nilai tersebut walaupun ketika berada dalam kerajaan.

“DAP dan AMANAH sepatutnya menggunakan kedudukan dan pengaruhnya dalam kerajaan untuk menekan reformasi institusi, termasuk memastikan kebebasan pendakwaan dan tidak mengganggu proses mahkamah.

“Parti yang gagal mempertahankan nilai yang diperjuangkannya ketika berkuasa, maka rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan integriti parti tersebut,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan Dewan Pemuda PAS Kedah akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain menuntut penubuhan Jawatankuasa Siasatan Diraja (RCI) yang bebas bagi menyiasat perkara tersebut yang disifatkan ‘tindakan aneh’ dan luar biasa oleh kerajaan.

Menurutnya, langkah itu perlu bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi keadilan serta memastikan kebebasan pendakwaan dan kehakiman benar-benar terpelihara.

Post a Comment

0 Comments